Al-An'am (6) : 139
Dan mereka berkata lagi: "Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami". Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
TAFSIR 1
Berkaitan dengan firman Allah, (Dan mereka berkata (pula), "Apa yang ada di dalam perut haiwan ternak ini khusus untuk kaum lelaki kami) Abu Ishaq As-Sabi?i meriwayatkan dari Abdullah bin Abu Al-Hudzail bahawa Ibnu Abbas mentafsirkan frasa, 'apa yang ada di dalam perut haiwan ternak ini, ' dengan susu. Al-Aufi pun menyampaikan riwayat dari Ibnu Abbas yang mentafsirkannya dengan susu. Mereka tidak memperbolehkan perempuan meminum susu, yang boleh meminumnya hanyalah lelaki. Begitu pula jika seekor kambing melahirkan anak jantan setelah patut disembelih anak kambing ini hanya boleh dimakan oleh lelaki, tidak boleh dimakan oleh perempuan. Namun, jika anak kambing itu betina, mereka pelihara sampai besar dan tidak disembelih. Berbeza jika anak kambing itu mati, baik lelaki mahupun perempuan sama-sama boleh memakannya. Pembezaan-pembezaan semacam inilah yang dilarang oleh Allah. Pendapat ini juga diakui oleh As-Saddi. (Kelak Allah akan membalas atas ketetapan mereka) ketetapan dalam ayat ini diertikan oleh Abu Al-Aliyah, Mujahid dan Qatadah dengan kebohongan. (Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana) perbuatan, perkataan, syariat dan ketetapan-Nya, lagi (Maha Mengetahui) amal hamba-Nya, baik amal yang baik mahupun amal yang jelek dan akan membalasnya secara sempurna.
Rujukan: 1999: 262 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli takwil berbeza pendapat mengenai pentafsiran terhadap ayat (Apa yang ada dalam perut haiwan ternak). Sebahagian ahli takwil berpendapat maksudnya adalah air susu. Sebahagian lain ahli takwil berpendapat maksudnya adalah janin yang ada dalam perut unta bahirah dan sawa?ib. As-Saddi menjelaskan ayat (Khusus untuk kaum lelaki kami, haram bagi isteri-isteri kami. Dan jika yang dalam perut itu (dilahirkan) mati) ini berkenaan dengan unta yang mengandung, jika melahirkan unta dalam keadaan hidup maka hanya untuk lelaki saja memakannya. Namun jika unta terlahir dalam keadaan mati, maka baik lelaki mahupun perempuan boleh memakannya. Oleh kerana itulah Allah melarang perbuatan ini. Penulis berpendapat pentafsiran yang tepat adalah Allah Taala memberitakan tentang orang-orang kafir yang berkata tentang ketentuan binatang ternak. Ayat (Apa yang ada di dalam perut haiwan ternak ini) maksudnya adalah air susu dan janinnya. Allah tidak mengkhususkan saat menceritakan mereka. Mereka berkata, sebahagian dari binatang ternak itu haram bagi perempuan dan sebahagian lain dihalalkan. Maka pentafsiran yang layak adalah, bahawa apa yang terdapat dalam perut binatang ternak berupa air susu dan janin, khusus untuk lelaki kami dan diharamkan atas wanita kami. Mereka mendahulukan lelaki. Namun jika janin terlahir dalam keadaan mati, maka baik lelaki mahupun perempuan boleh memakannya.
Rujukan: 2001: 584-590 (Tafsir al-Tabari)