Al-An'am (6) : 131
Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman, (Demikianlah (para rasul diutus) kerana Tuhanmu tidak akan membinasakan suatu negeri secara zalim sedang penduduknya dalam lengah (belum tahu)) Ertinya diutusnya para rasul dan diturunkannya kitab-kitab kepada bangsa jin dan manusia tidak lain agar tak ada yang dizalimi kerana dakwah belum sampai kepadanya. Sebaliknya, semua umat sudah Kami beri peringatan. Tak seorang pun yang mendapat azab melainkan kepadanya sudah diutus seorang rasul. Allah swt juga berfirman, (Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan), 'Sembahlah Allah, dan jauhilah thagut) (QS An-Nahl, 16: 36) Seperti ayat lain, (Tetapi Kami tidak akan menyeksa sebelum Kami mengutus seorang rasul) (QS Al-Isra, 17:15) Juga ayat, (Setiap kali ada sekumpulan (orang-orang kafir) dilemparkan ke dalamnya, penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, 'Apakah belum pernah ada orang yang datang memberi peringatan kepadamu (di dunia)?' Mereka menjawab, 'Benar, sungguh seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami tetapi kami (QS Al-Mulk, 67: 8-9).
Rujukan: 1999: 359-360 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat ini adalah, wahai Muhammad saw Kami telah mengutus seorang rasul dan Kami mengajarimu mengenai berita tentang kaum musyrikin dari golongan manusia dan jin. Telah dijelaskan kepada mereka ayat-ayat-Ku dan mereka juga diperingatkan akan pertemuan dengan-Ku. Tujuannya, agar Tuhanmu tidak sampai menghancurkan suatu kota kerana kezaliman mereka. Kata (Tuhanmu tidak akan membinasakan suatu negeri secara zalim) ini mengarah pada dua maksud. Sebahagian ahli takwil berpendapat iaitu dengan sebab kemusyrikan atau kekafiran penduduk suatu kota. Sebagaimana Luqman berkata (Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar) (QS Luqman, 31: 13). (Sedang penduduknya dalam keadaan lengah) maksudnya mereka tidak akan dipercepat dihukum, sampai datang Rasul yang memperingatkan mereka dengan firman Allah dan memberikan peringatan mengenai seksa Allah pada hari mereka kembali kepada-Nya. Sebahagian lain ahli takwil berpendapat, mereka tidak akan dihancurkan sebelum ada peringatan dari Rasul, ayat-ayat dan pelajaran. Kerana jika tidak demikan maka Allah telah menzalimi mereka. Padahal Allah tidak akan berbuat zalim kepada hamba-Nya. Penulis berpendapat, pentafsiran yang tepat adalah pentafsiran pertama. Sebab itu maknanya menjadi, "Tidak akan menghancurkan mereka disebabkan kemusyrikan mereka, sebelum diutus Rasul kepada mereka dan dia telah memperingatkan mereka."
Rujukan: 2001: 562-564 (Tafsir al-Tabari)