Al-An'am (6) : 121
Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.
TAFSIR 1
Ayat ini dijadikan dasar diharamkannya sembelihan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah sekalipun pelaku penyembelihannya seorang muslim. Di samping itu, pengharaman ini didukung pula oleh berbagai hadis yang memerintahkan menyebut nama Allah di saat akan menyembelih atau melepas haiwan buruan. Misalnya hadis dari Adi bin Hatim dan Abu Tsa' labah berikut. ?Jika kamu hendak melepas haiwan terlatih dan menyebut nama Allah ketika melepasnya, kamu boleh memakan haiwan halal yang dimangsanya.? (HR Bukhari dan Muslim) Allah swt berfirman, (Sesungguhnya syaitan-syaitan akan membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu) Ibnu Abu Hatim meriwayatkan bahawa Abu Ishaq bercerita, "Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar dan melaporkan bahawa Al-Mukhtar mengaku dirinya mendapat wahyu. Ibnu Umar menjawab, 'Dia benar,' lalu membacakan ayat ini" Maksud (Agar mereka membantah kamu) Ibnu Abbas berujar, "Syaitan membisikkan kepada kawan-kawannya agar berujar kepada kaum muslimin, 'Haiwan yang kalian makan itu adalah haiwan yang kalian bunuh sendiri bukan mati di tangan Allah.'" Di dalam kalimat lain, Ibnu Abbas mengatakan (bahawa syaitan itu berbisik), "Haiwan yang kalian sembelih ini disebutkan nama Allah padahal haiwan yang lebih dulu mati tidak."
Rujukan: 1999: 355-356 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud firman Allah (Dan janganlah kamu memakan dari apa (daging haiwan) yang (ketika disembelih) tidak disebut nama Allah) wahai orang yang beriman, janganlah kalian memakan binatang yang mati bukan kerana disembelih atau hasil sembelihan orang yang tidak menyebut nama Allah kerana hal itu haram bagi kalian. Juga terlarang memakan hasil sembelihan orang-orang musyrik yang dipersembahkan untuk berhala-berhala mereka. Kerana itu semua kefasikan iaitu kemaksiatan yang membawa pada kekufuran. Para ahli takwil berbeza pendapat dalam mentafsirkan kalimat (Syaitan itu). Sebahagian ahli takwil berpendapat, syaitan yang dimaksud adalah syaitan-syaitannya bangsa Persia dan pemeluk agama Majusi. Adapun kalimat (Kepada kawan-kawannya) dimaksudkan kepada musyrikin Quraisy, syaitan-syaitan membisikan kepada mereka dengan kata-kata indah agar membantah Nabi Allah dan para sahabatnya dalam urusan memakan bangkai. Sebahagian ahli takwil yang Iain berpendapat, bahawa yang dimaksud kalimat ini adalah mereka memperdaya anak-cucu Adam dengan membisikkan kepada kawan-kawannya dari bangsa Quraisy. Penulis berpendapat, bahawa pendapat yang paling benar dan utama adalah sesungguhnya Allah memberitakan bahawa syaitan-syaitan membisikan kepada kawan-kawannya agar mendebat orang mukmin dalam urusan pengharaman memakan bangkai, dengan perdebatan yang telah disebutkan sebelumnya.
Rujukan: 2001: 520-532 (Tafsir al-Tabari)