Al-An'am (6) : 109
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
TAFSIR 1
Kali ini Allah swt mengkhabarkan tentang kaum musyrikin bahawa mereka bersumpah atas nama Allah dan dengan penuh kesungguhan dan begitu meyakinkan, (Bahawa jika datang suatu mukjizat kepada mereka) yakni suatu mukjizat yang menakjubkan dan luar biasa. (Pastilah mereka akan beriman kepada-Nya) mereka pasti percaya. (Katakanlah, Mukjizat-mukjizat itu hanya ada pada Sisi Allah) ertinya katakanlah kepada orang-orang yang meminta (bukan agar diberi petunjuk tetapi untuk menunjukkan sikap ingkar) diperlihatkan mukjizat-mukjizat itu kepadamu wahai Muhammad bahawa yang berhak mengeluarkan mukjizat itu hanyalah Allah. Jika Allah mahu, Dia pasti menunjukkan mukjizat itu tetapi jika tidak, Dia tidak akan menghiraukan kalian. Allah swt berfirman, (Dan tahukah kamu bahawa apabila mukjizat (ayat-ayat) datang, mereka tidak juga akan beriman). Ada yang berpendapat bahawa kalimat ini ditujukan kepada kaum musyrik. Diantara yang mengakui pendapat ini adalah Mujahid. Pendapat Iain mengatakan bahawa ucapan ini ditujukan kepada kaum Mukminin.
Rujukan: 1999: 353 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa orang-orang yang menyekutukan Allah benar-benar bersumpah dengan sebenar-benarnya sumpah jika ada suatu tanda yang membenarkan apa yang dikatakan kamu, wahai Muhammad! Seperti datangnya tanda-tanda kepada orang-orang sebelum kami dari umat-umat terdahulu maka kami akan benar-benar beriman kepadamu. Mereka berkata, Kami akan benar-benar membenarkan kamu, bahawa kamu adalah seorang rasul yang diutus dan apa yang kamu bawa adalah benar dari Sisi Allah. Kemudian Allah membalas apa yang mereka utarakan, bahawa (Mukjizat-mukjizat itu hanya ada pada Sisi Allah) Ertinya hanya Dia-lah yang Maha Kuasa tanpa memerlukan bantuan yang lain dan tidak pula berkehendak atas dasar desakan makhluk. Dikatakan bahawa orang-orang yang mereka meminta untuk diturunkannya mukjizat adalah orang-orang yang Allah menampakkan keimanan mereka kepada Rasulullah dan mereka adalah dari kalangan kaum musyrik Quraisy. Keterangan ini didasarkan kepada riwayat Muhammad bin Amr, ia berkata Abu Ashim telah menceritakan kepada kami, ia berkata Isa telah menceritakan kepada kami dari Ibnu Abi Najih dari Mujahid.
Rujukan: 2001: 484-485 (Tafsir al-Tabari)