Al-An'am (6) : 109
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Muhammad bin Kaab Al-Qurazhi, dia berkata bahawa orang Quraisy berkata kepada Rasulullah saw "Wahai Muhammad, engkau menceritakan bahawa Musa a.s memillki tongkat yang dipukulkan ke batu, Isa a.s mampu menghidupkan orang-orang mati dan Saleh memiliki unta. Jadi datangkanlah kepada kami tanda-tanda mukjizat agar kami dapat mempercayaimu." Rasulullah saw menjawab "Apakah yang kalian mahu?" Orang Quraisy menjawab "Jadikan Bukit Safa emas." Rasululllah saw menjawab "Kalau aku lakukan, apakah kalian mengimaniku?" Mereka menjawab "Ya benar." Lalu Rasulullah saw berdoa. Datanglah Jibril a.s dan berkata "Jika engkau mahu Bukit Safa dijadikan emas tetapi mereka tetap tidak beriman, kami akan mengazab mereka. Jika engkau berkehendakkan mereka sehingga di antara mereka ada yang bertaubat." Lalu turunlah ayat ini.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)