Al-An'am (6) : 75
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
TAFSIR 1
Makna dari (Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi) adalah Kami jelaskan kepadanya bagaimana menggunakan makhluk ciptaan-Nya sebagai dalil atas keesaan Allah swt yang terdapat pada kekuasaan dan makhluk-Nya. Tidak ada Tuhan yang patut disembah selain Dia. Ayat lain yang semakna adalah (Katakanlah, Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi) (QS Yunus, 10: 101) Begitu pula dengan ayat, (Maka apakah mereka tidak memperhatikan langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka kepingan-kepingan dari langit. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya)) (QS Saba, 34: 9).
Rujukan: 1999: 344-345 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai maksud ayat (Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi). Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa maksudnya Allah memperlihatkan penciptaan langit dan bumi. Di antara periwayatan yang menguatkan pendapat ini antara lain. Pertama dari Ibnu Abbas (Tafsir Al-Baghawi Jilid lll: 158) dan dari Qatadah bahawa makna ayat tersebut adalah penciptaan langit dan bumi. Sebahagian ahli tafsir mentafsirkan maksud (Kerajaan) dalam ayat itu kerajaan dalam erti yang sebenarnya. Ada juga yang memaknakan ayat (Kami perlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi iaitu antara lain. Pertama dari Mujahid, bahawa itu adalah tanda-tanda di langit dan bumi. Dari Said Bin Jubir tentang ayat itu, ia berkata, "Di hadapan Ibrahim, diperlihatkanlah lempengan terdasar langit dan bumi sehingga ia pun melihat semuanya itu dari atas sebongkah batu. Sementara batu itu di atas punggung Ikan hiu. Ikan hiu pun ada di dalam cincin Tuhan yang tertulis di dalamnya redaksi 'Tidak ada Tuhan kecuali Allah'" Ada juga yang memaknainya dengan bahawa Allah akan memperlihatkan bintang, bulan dan matahari. Di antara periwayatan yang mendukung pentafsiran ini antara lain dari Ad-Dahak. Dari berbagai pentafsiran di atas, pendapat paling kuat adalah pendapat pertama yang menyatakan bahawa maksud ayat (Kami perlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan (Kami yang terdapat) di langit dan di bumi) adalah memperlihatkan kerajaan langit dan bumi bermula dari penciptaan matahari, bulan, bintang, gunung, tumbuh-tumbuhan, haiwan melata dan lain-lain. Kerananya, Ibrahim pun mengetahui segala perkara baik secara zahir mahupun batin.
Rujukan: 2001: 347-352 (Tafsir al-Tabari)