Al-An'am (6) : 54
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: "Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
TAFSIR 1
Makna dari (Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami datang kepadamu maka katakanlah, 'Assalamualaikum' (selamat sejahtera untuk kamu)) adalah hormati pula mereka dengan membalas salam. Senangkan hati mereka dengan rahmat Allah yang amat luas yang akan mereka dapatkan. Oleh kerana itu, Allah swt berfirman (Tuhanmu telah menetapkan sifat kasih sayang pada diri-Nya) ertinya berkat kemuliaan dan kebaikan-Nya, Allah swt menetapkan kepada diri-Nya sendiri sifat rahmat. ((Iaitu) barang siapa berbuat kejahatan di antara kamu kerana kebodohan) siapa pun yang melakukan maksiat kepada Allah termasuk orang bodoh. (Kemudian dia bertaubat setelah itu dan memperbaiki diri) selain bertaubat dan meninggalkan maksiat, ia juga bertekad untuk tidak mengulanginya serta berjanji akan memperbaiki amal perbuatannya di masa datang (Maka Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang) Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda sebagai berikut. "Pada saat menciptakan para makhluk, Allah menulis sebuah ketetapan di sisi-Nya di atas Arsy. Ketetapan itu berisi, sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku." (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Rujukan: 1999: 339-340 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai siapa yang dimaksud (Orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami). Sebahagian mengatakan orang-orang yang dilarang Allah untuk diusir oleh nabi-Nya. Sebahagian mengatakan bahawa yang dimaksud adalah orang-orang yang meminta fatwa atas dosa-dosa besar yang pernah mereka perbuat di masa lampau tetapi Allah tidak menutup pintu taubat atas mereka. Diantara riwayat yang menjadi landasan pendapat ini adalah riwayat dari Mahhan bahawa ia berkata, "Sekelompok orang datang kepada Rasulullah setelah berbuat dosa-dosa besar. Tampak keputusasaan di wajah mereka bahawa mereka tidak mungkin diterima pengampunannya." Tak lama kemudian turunlah ayat ini. Dari berbagai pendapat di atas, pendapat yang paling kuat dari maksud bukanlah orang-orang yang Allah melarang nabi untuk mengusir mereka kerana ayat (Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu) adalah berita mustanaf (berita tentang sesuatu yang tidak ada kaitannya dengan berita sebelumnya). Jadi tafsiran ayat itu menurut kami, "Wahai Muhammad, jika orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu lalu membuktikan kebenaran imannya itu secara lisan mahupun perbuatan seraya meminta petunjuk atas dosa-dosa mereka yang pernah mereka perbuat sehingga apakah masih ada pintu taubat atau tidak? Maka janganlah kamu membuat mereka putus asa dari bertaubat Katakan kepada mereka, 'Semoga keselamatan tetap atas kalian.' Kerana Allah menjamin dosa-dosa mereka diampuni setelah mereka bertaubat."
Rujukan: 2001: 272-275 (Tafsir al-Tabari)