Al-An'am (6) : 35 (Blok: 34-36)
وَإِنْ كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ فَتَأْتِيَهُمْ بِآيَةٍ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَى فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجَاهِلِينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ali bin Abi Thalib, dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah selalu dihadapkan pada tentangan yang berat dalam berdakwah, terutama dari paman-paman beliau sehingga sering sekali beliau merasa tertekan dan bersedih hati. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat ini sebagai peneguh hati beliau, bahawa tidak hanya beliau yang mendapat tentangan, para nabi dan rasul sebelum beliau juga mendapat tentangan. Oleh sebab itu, Allah akan memberikan perlindungan dan pertolongan kepada beliau dalam berdakwah, sebagaimana pertolongan yang diberikan kepada para rasul sebelum beliau.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)