Al-Ma'idah (5) : 114 (Blok: 114-115)
Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
TAFSIR 1
Tentang ayat ini, As-Saddi menerangkan bahawa maknanya adalah akan kami jadikan hari itu sebagai hari besar yang akan kami rayakan dan dirayakan generasi sesudah kami. Ertinya, menurut Ats-Tsauri akan kami jadikan hari itu sebagai hari beribadah kepadamu. (Dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau) yakni sebagai tanda kekuasaan Engkau atas segala sesuatu dan tanda dikabulkannya permintaan kami sehingga mereka mempercayai apa yang saya sampaikan kepada mereka. (Berilah kami iaitu rezeki yang berasal dari-Mu dan kami dapatkan dengan mudah tanpa bersusah-payah. Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki) Ibnu Abu Hatim meriwayatkan pula dari Ibnu Abbas bahawa Isa bin Maryam mendapat permintaan dari kaumnya, "Wahai Isa, berdoalah kepada Allah agar la mahu menurunkan hidangan dari langit untuk kami." Lalu malaikat turun membawa hidangan yang diminta. Hidangan itu sendiri terdiri dari 7 macam lauk dan 7 macam roti. Hidangan itu disajikan di hadapan mereka. Setelah disantap ternyata cukup untuk semua orang yang ada di situ, mulai dari yang pertama hingga terakhir. Sesuai nukilan Ibnu Jarir, Ishaq bin Abdullah mengatakan, "Hidangan yang diturunkan kepada Isa bin Maryam terdiri dari 7 macam roti dan 7 macam lauk. Mereka dapat memilih mana yang mereka suka. Lalu di antara mereka ada yang mencurinya. la berpikir, boleh jadi hidangan ini besok tidak turun lagi. Maka diangkatlah hidangan tersebut." Seluruh riwayat ini menunjukkan bahawa hidangan tersebut turun kepada Bani Israil pada masa Isa bin Maryam sebagai perkenan Allah atas permintaan Isa.
Rujukan: 1999: 329 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat ini, Allah swt mengkhabarkan tentang kisah Nabi Isa a.s ketika ia menjawab permintaan kaumnya agar Tuhannya menurunkan sebuah hidangan yang diturunkan dari langit. Para ahli tafsir berbeza pendapat tentang maksud penggalan ayat (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi menjadi beberapa pendapat. Pendapat pertama menjelaskan maknanya adalah kami akan menjadikan hari dimana hidangan itu turun sebagai hari raya yang akan kami dan orang-orang setelah kami menjadikannya agung. Pendapat pertama ini didasarkan kepada riwayat As-Saddi. Sedang pendapat yang kedua maknanya adalah hari dimana kami semua makan secara bersama-sama. Pendapat ini disandarkan kepada Ibnu Abbas. Bahkan, pendapat lainnya mengatakan bahawa maknanya adalah sebuah hujjah dan burhan dari Allah atas kami. Namun, pendapat yang paling dianggap benar adalah kami akan menjadikannya sebagai hari raya dimana pada hari itu kami menyembah dan solat kepada Tuhan kami, sebagaimana orang-orang melakukan persembahan pada hari raya mereka. Ungkapan inilah yang paling dikenal di kalangan orang-orang ketika itu. Maksud firman Allah (Iaitu bagi orang-orang yang sekarang bersama kami ataupun yang datang setelah kami) Maksudnya adalah orang-orang yang hidup di antara kami pada saat ini dan orang-orang yang akan datang dari kalangan kami. Maksud firman Allah (Dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau) adalah menjadi ciri dan hujjah dari Engkau, wahai Tuhan! Dalam rangka ibadah dan pengesaan. Maksud firman Allah (Berilah kami rezeki dan Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki) adalah kurniakanlah kami dengan limpahan kurnia-Mu kerana sesungguhnya Engkau, wahai Tuhan! Adalah sebaik-baiknya pemberi dan zat yang paling dermawan. Kemudian, turunlah hidangan itu berupa ikan dan makanan (roti) tapi kemudian Allah mengangkatnya kembali disebabkan beberapa kejadian yang terjadi antara mereka dengan Allah. Pendapat ini disandarkan kepada Abu Abdul Rahman As-Sulamy namun ada pendapat lain bahawa hidangan itu tidak jadi diturunkan, pendapat ini disandarkan kepada riwayat Al-Hassan.
Rujukan: 2001: 123-130 (Tafsir al-Tabari)