Al-Ma'idah (5) : 68
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
TAFSIR 1
Allah swt menegaskan kepada Nabi saw (Katakanlah (Muhammad) Wahai Ahlul Kitab! Kamu tidak dipandang beragama sedikit pun) yakni sebagai orang yang beragama hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat dan Injil. Ertinya hingga kamu beriman kepada semua kitab yang diturunkan oleh Allah swt kepada para nabi dan mengamalkannya. Di antara perintah-Nya adalah mengikuti Muhammad saw percaya kepada kenabian dan mengikuti ajaran beliau. (Dan apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu pasti akan membuat banyak di antara mereka lebih derhaka dan lebih ingkar) sebelumnya sudah dijelaskan apa maksud dari ayat ini. Kemudian, Allah swt memberikan perintah (Maka, janganlah engkau berputus asa terhadap orang-orang kafir itu) ertinya jangan kamu bersedih dan jangan pula kecewa kerana tindakan mereka kepadamu.
Rujukan: 1999: 314 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Menurut At-Tabari ayat ini memerintahkan Nabi Muhammad saw untuk mengingatkan Ahli Kitab tentang kewajipan mereka mengamalkan isi Taurat, Injil dan Al-Quran yakni kewajipan membenarkan rasul-rasul Allah seluruhnya, tidak membenarkan sabahagian dan mengingkari sebahagian lainnya serta kewajipan mengikuti Nabi Muhammad saw dan ajaran-ajaran yang ada di dalam Al-Quran. Akan tetapi apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw itu ternyata hanya menambah kekufuran mereka dan kederhakaan mereka. Dalam riwayat Ibnu Abbas disebutkan bahawa beberapa orang pemuda Yahudi iaitu Rafi bin Haritsah, Salam bin Misykam, Malik bin Shaif serta Rafi bin Huraimalah datang menemui Rasulullah saw. Mereka berkata, ?Hai Muhammad, bukankah engkau pernah menyatakan bahawa engkau melaksanakan millah Ibrahim dan mengimani bahawa Taurat itu benar dari sisi Allah? Maka Rasulullah saw menjawab ?Benar tetapi kalian telah mengubah isinya dan menolak perjanjian kalian dengan Allah yang harusnya kalian patuhi serta menyembunyikan apa yang harusnya kalian sampaikan kepada umat manusia, oleh kerana itu aku berlepas diri dari semua yang kamu ada-adakan. Kemudian mereka menjawab ?Sesungguhnya kami hanya berpegang teguh pada apa yang ada pada tangan kami sahaja kerana kami berada diatas kebenaran dan petunjuk Allah dan kami tidak akan beriman kepadamu dan menjadi pengikutmu.? Maka Allah pun menurunkan ayat ini untuk menghiburkan Nabi Muhammad saw agar tidak bersedih.
Rujukan: 2001: 572-575 (Tafsir al-Tabari)