An-Nisaa’ (4) : 166
(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).
TAFSIR 1
Firman Allah (Tetapi Allah menjadi saksi atas (Al-Quran) yang diturunkan-Nya kepadamu (Muhammad)) ertinya sekali pun ada yang ingkar kepadamu, Allah tetap menjadi saksi bahawa kamu adalah utusan-Nya yang mendapat wahyu Al-Quran dari-Nya. Maka dari itu, Allah swt berfirman (Dia menurunkannya dengan ilmu-Nya) yakni termaktub dalam pengetahuan-Nya yang ingin agar hamba-hamba-Nya mengetahui kebenaran dan petunjuk, mengenali mana hal yang Allah sukai dan cintai serta mana pula hal yang la benci. Para nabi dapat mengetahui hal-hal ghaib, di masa lalu atau di masa depan termasuk pula sifat-sifat Allah yang diperoleh setelah Allah mengajarkan kepada mereka. (Dan para malaikat pun menyaksikan) iaitu akan kebenaran wahyu yang la berikan dan turunkan kepadamu selain kesaksian Allah. (Dan cukuplah Allah yang menjadi saksi) Muhammad bin Ishaq meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa segerombongan orang Yahudi datang menghadap Rasulullah. Beliau saw bersabda kepada mereka sebagai berikut. "Saya tahu bahawa kalian betul-betul menyedari saya ini utusan Allah." Tetapi mereka menjawab, "Tidak, kami tidak tahu itu." Allah swt pun menurunkan ayat (Tetapi Allah menjadi saksi atas (Al-Quran) yang diturunkan-Nya kepadamu (Muhammad). Dia menurunkannya dengan ilmu-Nya).
Rujukan: 1999: 276 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
At-Tabari berpendapat ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Yahudi yang diajak oleh Nabi Muhammad saw agar mahu beriman dan masuk Islam serta mengikuti ajaran yang beliau sampaikan. Ini kerana mereka adalah orang-orang Ahli Kitab yang tentunya telah mengetahui dari kitab suci mereka, tentang benarnya ciri-ciri kenabian (nubuwwah) Muhammad saw. Namun mereka ternyata menolak ajakan tersebut. Mereka ingkar terhadap kenabian beliau dan tidak mahu mengakui bahawa mereka sebenarnya telah mengetahui nubuwwah beliau dari kitab suci yang mereka baca. Peristiwa penolakan itu diantaranya dijelaskan dalam riwayat Ibnu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah saw pernah menemui sekelompok orang Yahudi kemudian beliau berkata "Sesungguhnya aku mengetahui bahawa sesungguhnya kamu sekalian pasti mengetahui dengan sesungguhnya bahawa aku adalah seorang rasul Allah" Kemudian mereka menjawab "Tidak! Kami tidak tahu. " Maka, turunlah ayat ini. Allah menurunkan ayat ini untuk menenangkan Nabi Muhammad saw agar tidak bersedih ketika orang-orang Yahudi itu menolak dan mendustakannya dan mengatakan bahawa Allah tidak akan menurunkan kitab kepada manusia kecuali berupa kitab yang diturunkan dari langit. Allah dan para malaikat-Nya yang menjadi saksi bahawa Al-Quran memang diturunkan dari sisi-Nya dengan ilmu-Nya. Dan Cukuplah Allah sebagai saksi yang mengakuinya.
Rujukan: 2001: 694-695 (Tafsir al-Tabari)