An-Nisaa’ (4) : 160
Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.
TAFSIR 1
Allah swt menginformasikan bahawa la mengharamkan beberapa makanan yang baik, yang sebelumnya dihalalkan untuk kaum Yahudi. Hal itu tidak lain disebabkan kezaliman mereka sendiri dengan melakukan berbagai dosa besar. Pengharaman ini dapat terjadi secara takdir dan secara syariat. Secara takdir ertinya Allah menakdirkan mereka menakwilkan kitab sehingga berbagai makanan yang tadinya halal mereka haramkan terhadap diri mereka sendiri. Tujuannya hanya untuk menekan dan mempersulit diri. Sedangkan secara syariat ertinya Allah memang mengharamkan berbagai makanan yang sebelumnya halal di dalam Taurat. Hal ini sudah kita bicarakan sebelumnya bahawa semua makanan itu halal sebelum Taurat turun kecuali makanan yang merupakan pantangan Israil sendiri iaitu daging dan susu unta. Tetapi setelah Taurat turun, Allah pun mengharamkan aneka ragam makanan. Maka Allah swt berfirman (Kerana kezaliman orang-orang Yahudi, Kami haramkan bagi mereka makanan yang baik-baik yang (dahulu) pernah dihalalkan dan kerana mereka sering menghalangi (orang lain) dari jalan Allah) ertinya mereka tidak hanya menghalang-halangi diri mereka sendiri untuk mengikuti kebenaran tetapi juga menghalang-halangi orang lain. Parahnya lagi, ini semua sudah menjadi kebiasaan mereka turun-temurun sehingga mereka dikenal sebagai musuh alot para rasul. Mereka tidak hanya dikenal tidak percaya kepada Isa dan Muhammad saw mereka bahkan sampai sanggup membunuh beberapa orang nabi.
Rujukan: 1999: 274 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Menurut At-Tabari, ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt telah mengharamkan atas orang-orang Yahudi beberapa makanan yang baik-baik yang sebelumnya dihalalkan bagi mereka. Hal ini disebabkan oleh tindakan-tindakan mereka yang zalim. Mereka mengingkari perjanjian dengan Allah, mereka juga kufur terhadap ayat-ayat-Nya, membunuh para nabi, melontarkan tuduhan keji kepada Maryam dan melakukan keburukan-keburukan lainnya yang telah dilarang oleh Allah swt dalam kitab suci mereka. Adapun kezaliman terbesar mereka menurut At-Tabari adalah penolakan orang-orang Yahudi itu atas nubuwwat (ciri-ciri kenabian) Muhammad saw. Mereka menyembunyikan informasi sebenarnya yang ada dalam kitab suci mereka agar manusia tidak mengetahuinya. Sebab yang kedua adalah kerana mereka suka menghalang-halangi Allah dari agama dan jalan hidup yang disyariatkan oleh-Nya. Yakni dengan menyebarkan perkataan-perkataan yang batil lalu mengatakan bahawa semuanya bersumber dari Allah swt serta dengan cara mengubah isi kitab suci mereka sedemikian rupa sehingga menyimpang dari makna yang sebenarnya. Sebab lainnya sebagaimana dijelaskan dalam ayat selanjutnya adalah kerana mereka suka memungut riba dan suka memakan harta orang lain dengan cara batil, semisal memakan wang suap yang mereka peroleh dengan cara mengubah-ubah suatu keputusan hukum atau mengutak-atik suatu bahagian dari kitab suci mereka.
Rujukan: 2001: 676-677 (Tafsir al-Tabari)