An-Nisaa’ (4) : 153
Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: "(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)". Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).
TAFSIR 1
Muhamad bin Ka'ab Al-Qurazhi, As-Saddi dan Qatadah meriwayatkan bahawa kaum Yahudi meminta Rasulullah saw untuk membawa turun sebuah kitab dari langit seperti Taurat, yang diturunkan kepada Musa a.s secara tertulis. Semua permintaan ini sebenarnya merupakan bentuk keingkaran, kekufuran dan sikap menentang. Permintaan serupa juga pernah diajukan oleh kaum Quraisy seperti yang terdapat dalam surah Al-Isra, "Dan mereka berkata (Kami tidak akan percaya kepadamu (Muhammad) sebelum engkau me- mancarkan mata air dari bumi untuk kami) (QS Al-Isra, 17: 90) Maka dari itu, Allah swt berfirman (Sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar dari itu. Mereka berkata, "Perlihatkanlah Allah kepada kami secara nyata. Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya) ertinya disebabkan keingkaran dan sikap keras kepala yang mereka tunjukkan. (Kemudian mereka menyembah anak sapi, setelah mereka melihat bukti-bukti yang nyata) setelah mereka melihat bukti-bukti nyata dan kuat pada Musa yang diutus ke Mesir serta kehancuran musuhnya iaitu Firaun dan bala tentaranya oleh hentaman gelombang. Namun, tidak lama kemudian ketika bertemu suatu kaum yang tunduk kepada berhala, mereka meminta kepada Musa a.s buatlah untuk kami sebuah tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan (berhala)) (QS Al-A'raf, 7: 138).
Rujukan: 1999: 268 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ada tiga pendapat mengenai kitab yang turun dari langit yang diminta oleh orang-orang Yahudi itu. Menurut As-Saddi maksudnya adalah sebuah kitab yang turun dari langit yang telah berisi tulisan sebagaimana kitab yang turun kepada Nabi Musa. Sedangkan menurut Qatadah yang dimaksud adalah sebuah kitab yang khusus diturunkan untuk mereka saja. Adapun menurut Ibnu Juraij yang dimaksud adalah sebuah kitab dari Sisi Allah yang di dalamnya terdapat penjelasan bahawa Muhammad saw benar-benar utusan Allah. Menurut At-Tabari pendapat ketiga inilah yang paling tepat. Yakni bahawasannya orang-orang Yahudi meminta kepada Nabi Muhammad untuk menunjukkan sebuah mukzijat kepada mereka berupa kitab yang langsung turun dari langit yang menjelaskan benarnya kerasulan beliau dan memerintahkan untuk mengikuti beliau. Permintaan seperti ini bukanlah yang pertama. Dahulu pernah meminta sesuatu yang lebih besar kepada Nabi Musa iaitu meminta agar melihat Allah dengan jelas. Oleh kerana itu, Nabi Muhammad saw tidak perlu menganggap besar permintaan mereka itu. Kerana kalaupun dipenuhi, mereka pasti akan tetap dalam kesesatan dan tidak akan mengikuti ajakan Rasulullah saw. Sebagaimana nenek moyang mereka dahulu terjerumus ke dalam kesesatan yang lebih besar iaitu menyembah patung anak sapi setelah mereka mati disambar petir dan dihidupkan kembali oleh Allah akibat permintaan mereka kepada Nabi Musa untuk melihat Allah secara nyata.
Rujukan: 2001: 638-644 (Tafsir al-Tabari)