An-Nisaa’ (4) : 135
Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
TAFSIR 1
Allah swt memerintahkan orang-orang yang beriman untuk menjadi penegak keadilan dan tidak melenceng ke kiri atau ke kanan. Tidak takut kepada celaan siapa pun kerana Allah dan tidak dapat dipalingkan oleh siapa pun. Selain itu, mereka juga diperintahkan untuk saling membantu dan saling memperkukuh persatuan. (Menjadi saksi karena Allah) ertinya hendaklah kamu menegakkannya kerana Allah. Ketika itulah keadilan menjadi benar dan bebas dari penyelewengan serta usaha menyembunyikan hukum. Allah swt memperingatkan, (Walaupun terhadap dirimu sendiri) tegakkanlah keadiIan walaupun hal itu mengakibatkan kerugian pada dirimu. (Atau terhadap ibu bapak dan kaum kerabatmu) ertinya sekalipun kesaksian itu kamu berikan terhadap orang tua atau kerabatmu sendiri, jangan dipedulikan. Kebenaran harus menjadi panglima bagi semua orang. (Jika dia (yang terdakwa) kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya)) maksudnya jangan pedulikan kekayaan dan jangan iba kerana kemiskinannya kerana mereka menjadi urusan Allah. (Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran) ertinya jangan sampai hawa nafsu, fanatisme dan kebencian orang lain menyebabkan kamu melupakan keadilan dalam hal apa pun. (Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi) Mujahid dan lebih dari satu ulama salaf lain mengatakan bahawa talwu bermakna memutarbelitkan kesaksian dan mengubahnya. Allah mengancam mereka dengan firman-Nya, (Maka ketahuilah Allah Maha Teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan) ertinya Allah swt akan membalas perbuatan kalian tersebut.
Rujukan: 1999: 263 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat (Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah) bermakna, tegakkanlah keadilan itu kerana Allah, ketika kamu menjadi saksi. Maksud ayat (Biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibubapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin) jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan. Tegakkanlah persaksian itu secara benar. Janganlah kamu berat sebelah dalam persaksian itu kerana kekayaan seseorang sehingga orang kaya itu berada di atas orang fakir. Tidak pula kerana kefakiran seseorang sehingga orang fakir itu berada di atas orang kaya. Kerana Allah telah mempersamakan hukum antara yang kaya dan yang fakir dalam perkara yang menuntut kamu, wahai wanusia, menjadi saksi secara adil terhadap masing-masing pihak. Maksud ayat (Maka Allah lebih tahu kemaslahatannya) Allah lebih berhak terhadap keduanya daripada kamu. Kerana Allah pemilik keduanya, maka Dia lebih tahu terhadap kemaslahatan urusan masing-masing dari keduanya dan semua urusan kalian. Kerana itu, Dia memerintah kamu untuk menegakkan keadilan di antara keduanya ketika kamu menjadi saksi terhadap mereka berdua. Maksud ayat (Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran) janganlah kamu mengikuti hawa nafsu dalam memihak ketika menjadi saksi itu lalu kamu mengucapkan perkataan yang tidak benar. Tetapi tegakkanlah keadilan dan tunaikanlah persaksian itu dengan adil sesuai dengan perintah Allah. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.
Rujukan: 2001: 584-594 (Tafsir al-Tabari)