An-Nisaa’ (4) : 128
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Al-Hakim dari Aisyah, dia berkata "Ketika Saudah binti Zam'ah (salah satu isteri Rasulullah) telah berusia lanjut, dalam hatinya timbul kekhawatiran akan diceraikan oleh Rasulullah. Dia berkata 'Wahai Rasulullah, hari giliranku aku berikan untuk Aisyah.' Lalu turunlah ayat 128 ini." Dalam riwayat lain dari Said bin Mansur dari Said bin Al-Musayyab diceritakan bahawa anak perempuan Muhammad bin Maslamah adalah isteri dari Rafi' bin Hudaij tetapi dia tidak menyukai sesuatu dari isterinya, apakah itu kerana sudah tua atau yang lainnya, kemudian dia ingin menceraikannya. Namun isterinya berkata "Jangan kamu ceraikan aku tetapi bagilah apa yang menjadi hakku." Kemudian ayat ini pun turun. Imam Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah r.a, dia berkata "Ayat ini turun berkaitan dengan seorang lelaki yang mempunyai isteri dan anak yang banyak tetapi lelaki itu berkehendak untuk mengganti dengan isteri yang lebih muda dan lebih cantik dan tidak mahu lagi berbagi dengannya." Dalam riwayat terakhir dari Ibnu Jarir dari Said bin Jabir diceritakan bahawa dia berkata "Ketika ayat ini turun, seorang perempuan datang dan berkata kepada suaminya 'Sungguh, aku redha kamu membagi nafkah untukku dengan isteri yang lain, asalkan jangan diceraikan.' Kemudian turunlah ayat ini."
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)