Quraisy (106) : 4
الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ
Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.
TAFSIR 1
Maksud firman Allah (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar) adalah Dia Pemilik Kaabah sekaligus Zat yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan rasa lapar serta juga yang telah memberikan rasa aman.
Rujukan: 1999: 1002-1003 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan tentang nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kaum Quraisy antara lain sebagaimana disebutkan pada ayat ini berupa keluasan rezeki dan kemudahan dalam mata pencariannya. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a tentang ayat (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar) iaitu penduduk Mekkah Quraisy, yang telah didoakan oleh Nabi Ibrahim saw dengan doanya (Berilah mereka rezeki dari buah-buahan). (QS Ibrahim, 14: 37)." Selain itu, Allah swt juga memberikan keamanan kepada mereka dari rasa ketakutan seperti penyerangan, peperangan, pembunuhan dan hal-hal lainnya. Diriwayatkan dari Mujahid tentang maksud ayat (Dan mengamankan mereka dari rasa ketakutan) iaitu memberikan keamanan kepada mereka dari setiap musuh di tanah haram mereka (Mekkah). Namun ada pula yang berpendapat bahawa maksud ayat itu adalah "Dari rasa takut mereka terhadap penyakit kusta." Kesimpulan dari ayat ini bahawa Allah swt memberikan keamanan kepada mereka dari rasa takut, baik dari musuh mahupun penyakit kusta. Kerana pada ayat itu Allah swt tidak mengkhususkan rasa takut hanya terhadap musuh. Dengan perkataan lain maksud ayat itu bersifat umum, mencakup keduanya. Kerana itu, dengan kemakmuran dan ketenteraman yang telah dianugerahkan Allah swt kepada mereka, hendaknya mereka berbakti dan beribadah kepada Allah swt semata.
Rujukan: 2001: 653-656 (Tafsir al-Tabari)