An-Nisaa’ (4) : 102
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
TAFSIR 1
Solat khauf banyak macamnya. Musuh terkadang berada di arah kiblat, terkadang tidak. Solat pun ada yang empat rakaat, tiga rakaat dan ada pula yang dua rakaat seperti solat subuh dan solat di perjalanan. Di samping itu, solat juga dilakukan dengan berjemaah dan dapat pula dengan sendiri-sendiri, baik menghadap kiblat ataupun tidak. Dilakukan sambil berjalan ataupun naik kendaraan. Bahkan, juga dibolehkan solat sambil berjalan dan mengayunkan pedang berkali-kali. Di antara ulama ada yang berpendapat bahawa dalam kondisi seperti ini solat yang dikerjakan hanya satu rakaat. Hal itu kerana hadis Ibnu Abbas ketika Allah swt mewajibkan solat kepada Nabi saw empat rakaat di waktu bermukim dan dua rakaat di waktu bersafar, serta satu rakaat saja di saat ketakutan. (HR Muslim, Abu Dawud, Nasai, dan Ibnu Majah) Pendapat ini juga diakui oleh Ahmad. Ibnu Abu Hatim meriwayatkan dari Salim bahawa bapanya menafsirkan solat yang dimaksud dalam ayat berikut (Dan apabila engkau (Muhammad) berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu engkau hendak melaksanakan solat bersama-sama mereka) adalah solat khauf. Rasulullah saw melakukan solat dengan salah satu kelompok (makmum) sebanyak satu rakaat, sedangkan kelompok (makmum yang) lain dalam posisi menghadap musuh. Setelah itu, kelompok yang tadinya dalam posisi menjaga musuh ikut solat bersama Rasulullah saw satu rakaat. Dengan merekalah Rasulullah saw mengucapkan salam (untuk menyudahi solat) (HR Ibnu Abu Hatim).
Rujukan: 1999: 254-255 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Dan apabila engkau (Muhammad) berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu engkau hendak melaksanakan solat) adalah jika kamu, wahai Muhammad berada di tengah-tengah sahabatmu dalam keadaan bahaya, khawatir musuhmu akan membinasakanmu lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka sempurnakanlah solat itu bersama mereka, batasan, rukuk dan sujudnya. Sedangkan maksud ayat (Maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata) mereka semua menghadap musuh sambil menyandang senjata. Makna ayat (Kemudian apabila mereka (yang solat besertamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat)) ini adalah apabila segolongan yang solat bersamamu sujud hendaklah orang yang di belakangmu dan di belakang orang yang bergabung pada solatmu yang tidak solat pada rakaat pertama untuk menghadapi musuh, setelah menyelesaikan sisa solatnya. Yang belum solat bersamamu di rakaat pertama, hendaklah mereka solat bersamamu pada rakaat yang tersisa. Hendaklah mereka bersiap sedia menghadapi musuh dengan senjata mereka untuk memerangi musuh setelah mereka menyelesaikan solatnya. Maksud ayat (Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu) kalau kalian sibuk dengan solat sehingga lengah dari senjatamu yang akan digunakan untuk berperang dan lengah dari harta bendamu yang akan digunakan sebagai perbekalan dalam perjalanan. Maksud ayat (Lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus) mereka menyerang kamu dengan sekaligus ketika kamu sibuk dengan solatmu hingga lengah dari senjata dan harta bendamu. Mereka menimpakan bahaya kepada kamu lalu mereka membunuhmu dan membinasakan pasukanmu. Maksud ayat (Dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu memang sakit dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang kafir itu) tidak ada dosa atasmu jika kamu mendapat kesusahan kerana hujan atau kerana kamu sakit untuk meletakkan senjata-senjatamu. Kerana itu, siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan yang mereka tidak dapat menghindar darinya iaitu seksa Jahanam.
Rujukan: 2001: 423-445 (Tafsir al-Tabari)