An-Nisaa’ (4) : 102
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi dari Ibnu Iyasy Az-Zarqi, dia berkata bahawasanya suatu saat di sebuah peperangan di Asfan, kaum muslimin sedang mendirikan solat zuhur bersama Rasulullah. Saat itu, pasukan musyrik yang dipimpin Khalid bin Walid hendak menggunakan kesempatan itu untuk menyerang Rasulullah dan pasukannya yang berada di hadapan mereka. Sebahagian mereka ada yang berpendapat bahawa waktu yang terbaik untuk menyerang kaum muslimin adalah ketika mereka melaksanakan solat asar yang sebentar lagi akan tiba kerana mereka berpendapat bahawa kaum muslimin mencintai solat asar melebihi cinta mereka terhadap nenek moyangnya. Dalam hal ini, tidak lama kemudian Jibril turun memberitahukan dan mengajarkan pelaksanaan ayat ini yang intinya cara mendirikan solat ketika dalam peperangan. Imam At-Tirmidi meriwayatkan hal yang sama melalui jalan Abu Hurairah, begitu juga dengan Ibnu Jarir dari Jabir bin Abdullah dan Ibnu Abbas.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)