An-Nisaa’ (4) : 94
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.
ASBAB 1
Dari jalan riwayat lain, Al-Bazzar meriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia berkata "Rasulullah saw mengutus pasukan dan di dalamnya ada Al-Miqdad. Tatkala pasukan itu datang kepada suatu kaum, para sahabat mendapati kaum itu telah tercerai-berai dan hanya tersisa seorang lelaki dengan harta yang banyak sambil berteriak mengucapkan, 'La ilah illahu, tapi kemudian Al-Miqdad tetap membunuhnya. Khabar ini sampai kepada Rasulullah saw lantas beliau berkata 'Bagaimanakah pertanggungjawabanmu kelak dengan orang-orang yang mengucapkan 'La ilah illahu' kemudian kamu bunuh?' Allah pun menurunkan ayat ini berkaitan kejadian Al-Miqdad." Ada banyak lagi riwayat-riwayat sahih yang menjelaskan sebab lain turunnya ayat ini dengan perbezaan pelaku dan kejadian.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)