Al-Infitaar (82) : 6 (Blok: 6-7)
يَا أَيُّهَا الْإِنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -
TAFSIR 1
Firman Allah (Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pengasih) merupakan ancaman bukan seperti sangkaan sebahagian orang yang menyatakan bahawa itu merupakan arahan. Muqatil meriwayatkan bahawa ayat ini turun kerana Aswad bin Syariq telah memukul nabi tetapi tidak mendapatkan seksaan pada saat itu juga. Maksud dari firman Allah (Yang telah menciptakanmu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang) adalah mempertanyakan mengapa manusia menderhakai Tuhan yang telah menciptakannya secara sempurna, bagus dan dapat berdiri dengan seimbang.
Rujukan: 1999: 981 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan tentang peringatan kepada manusia yang lalai dalam beribadah. Allah saw menegur manusia dengan firman-Nya (Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu) Dan syaitanlah yang telah menipu dan memujuk manusia sehingga lalai dan melupakan Tuhannya. Disebutkan dalam sebuah riwayat dari Qatadah (tentang makna firman-Nya ini) ia berkata, "Bahawa sesuatu yang telah memperdayakan anak Adam adalah musuh Allah iaitu syaitan. Padahal, Allah yang telah menciptakan manusia, menyempurnakan ciptaan-Nya dan mengimbangi susunan tubuhmu dalam bentuk yang Allah swt kehendaki, ada yang menjadi seorang pemuda, ayah, ibu, bibi, pak cik dan lainnya seperti yang disebutkan dalam ayat yang selanjutnya. Tapi mengapa hai anak Adam, kalian melalaikan ibadah kepada Allah yang menciptakanmu?" Pada ayat ini dijelaskan pula bahawa yang menentukan anak itu menjadi seorang lelaki atau perempuan, kemiripan dengan ayah atau ibunya, hanyalah Allah. Itulah peringatan Allah kepada manusia yang telah diperdaya oleh syaitan dan melalaikan ibadah kepada Allah swt yang telah menciptakannya dengan sebaik-baik ciptaan dan hanya Dialah yang patut disembah.
Rujukan: 2001: 546-550 (Tafsir al-Tabari)