Al-Muddassir (74) : 31
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
ASBAB 1
Ibnu Ishaq dan Qatadah meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Abu Jahal berkata "Wahai kaum Quraisy, Muhammad menyangka bahawa tentara Allah yang akan mengazab kalian di neraka berjumlah sembilan belas padahal jumlah kalian lebih banyak. Apakah seratus orang di antara kalian tidak sanggup menghadapi seorang dari mereka?" Kemudian Allah menurunkan ayat ini. Ada riwayat lain yang ikut menjelaskan, dikeluarkan As-Saddi, ia berkata, tatkala turun ayat 31, seseorang dari kaum Quraisy yang bernama Abu Al-Asyad berkata "Wahai sekalian kaum Quraisy, sesekali tidak akan membinasakan kalian jumlah sembilan belas orang itu kerana aku sendiri mampu memangku dengan pundakku sebelah kanan sepuluh orang dan di sebelah kiriku sembilan orang." Kemudian Allah menurunkan ayat ini.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)