An-Nisaa’ (4) : 56
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
TAFSIR 1
Allah swt mengkhabarkan azab apa yang akan Dia berikan di neraka Jahanam kelak kepada orang yang ingkar terhadap ayat-ayat-Nya dan menghalang-halangi para Rasul-Nya dengan berfirman, (Sungguh, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami) ertinya mereka benar-benar akan Kami cemplungkan ke dalam neraka dengan seluruh anggota tubuh mereka. Allah juga mengkhabarkan tentang kekalnya mereka di dalam neraka dan seksaannya, (Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab) Al-A'masy meriwayatkan bahawa Ibnu Umar berujar, "Kala kulit mereka musnah terbakar, mereka berganti kulit lagi dengan kulit lain yang warnanya putih seperti kertas." Riwayat ini disampaikan oleh Ibnu Abu Hatim. Ibnu Abu Hatim juga meriwayatkan bahawa Hassan menafsirkan ayat (Setiap kali kulit mereka hangus) iaitu dalam sehari kulit itu matang sebanyak 70 kali. Husain dan Fudhail bin Hisyam menambahkan keterangan Hassan. "Setiap kali kulit mereka matang terlalap api, sebuah suara muncul, 'Kembalilah.' Maka kulit itu pun kembali (seperti semula)."
Rujukan: 1999: 239 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
(Sungguh, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain) ini adalah ancaman dari Allah terhadap orang-orang yang ingkar kepada ayat-ayat-Nya dan kafir kepada Rasul-Nya iaitu Yahudi dari Bani Israil dan orang-orang kafir selain mereka, bahawa Allah akan masukkan mereka ke dalam neraka yang meliputi semua tubuh dan anggota mereka. Setiap kali kulit mereka hangus, Allah ganti kulit mereka dengan kulit yang lain." Ada riwayat yang menjelaskan maksud ayat ini. Dari Ibnu Umar, ia berkata, "Apabila kulit mereka terbakar, maka Kami ganti kulit itu dengan kulit yang lain berwarna putih seperti kertas (kapas)." Al-Hasan berkata tentang hal tersebut bahawa dalam waktu sehari, kulit mereka terbakar hangus sebanyak tujuh puluh ribu kali. Maksud ayat (Agar mereka merasakan azab) ini adalah Kami berbuat demikian terhadap mereka supaya mereka merasakan azab yang keras lagi pedih sebagai balasan perbuatan mereka ketika dunia iaitu mereka mendustakan dan mengingkari ayat-ayat Allah. Maksud ayat (Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana), Allah Maha Perkasa dalam membalas perbuatan makhluknya. Tidak seorang pun yang dapat mencegah dan menolong untuk membebaskannya dari seksaan. Dia Maha Bijaksana dalam mengatur dan menetapkan keputusan.
Rujukan: 2001: 162-167 (Tafsir al-Tabari)