An-Nisaa’ (4) : 51
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w).
TAFSIR 1
Mengenai kata jibt dalam ayat ini, Muhammad bin Ishaq meriwayatkan dari Hassan bin Faid bahawa Umar bin Khathob mengatakan, "Jibt adalah sihir sedangkan thaghut adalah syaitan." Abu Nasr Ismail bin Hamad Jauhari di dalam kitabnya Sihhah berpendapat bahawa jibt adalah kata yang merujuk kepada berhala, dukun, tukang sihir dan semacamnya. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnad-nya dari Qabishah bin Mukhariq, Nabi saw bersabda sebagai berikut "Mengusir burung (iyafah), membuat garis di tanah (thuruq) dan meramal lewat burung (thiyarah) termasuk jibt. " (HR Ahmad) Al-Auf menjelaskan, "Iyafah adalah mengusir burung, thuruq adalah membuat garis di tanah sedangkan jibt menurut Hasan, adalah syaitan." Ibnu Abu Hatim meriwayatkan pula bahawa Jabir bin Abdullah ketika ditanya tentang makna thaghut mengatakan, "Mereka adalah para dukun yang mendapat bisikan dari syaitan." Namun Mujahid mengatakan, "Thaghut adalah syaitan dalam rupa manusia yang menjadi tempat mereka bertanya dan kata-katanya amat menentukan." Imam Malik berpendapat, "Thaghut adalah segala sesuatu yang disembah selain Allah." (Dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya daripada orang-orang yang beriman) maksudnya meskipun orang-orang kafir bodoh, tidak memiliki keyakinan yang teguh dalam beragama dan tidak percaya kitab Allah, mereka tetap dianggap kaum Yahudi lebih istimewa daripada kaum muslimin.
Rujukan: 1999: 238 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada Jibt dan Thagut) ini adalah teguran pada Muhammad agar memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari kitab Allah, lalu mereka mengetahuinya. Mereka percaya kepada jibt dan thaghut serta mengingkari Allah padahal mereka mengetahui bahawa mengimani keduanya adalah kufur dan percaya kepada keduanya adalah syirik. Jibt dan thagut adalah nama bagi segala sesuatu selain Allah yang diagungkan dengan disembah, ditaati atau tunduk kepadanya. Apapun bentuknya, baik batu, manusia atau syaitan. Maksud ayat (Dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah)) mereka berkata kepada orang-orang yang mengingkari keesaan Allah dan kerasulan Muhammad saw. Maksud ayat (Bahawa mereka itu) adalah mereka yang telah disifati oleh Allah dengan kekufuran. Sedangkan maksud ayat (Lebih benar) adalah lebih lurus dan adil. Maksud ayat (Dari orang-orang yang beriman) adalah dari orang-orang yang mengimani Allah dan Rasul-Nya dan mengakui ajaran yang dibawa Muhammad saw. Allah mencela orang-orang Yahudi kerana mereka mengagungkan selain Allah, kufur terhadap Allah dan Rasul-Nya dan bermaksiat kepada keduanya. Mereka berkata, "Orang kafir lebih benar daripada orang beriman kerana agama para pendusta Allah dan Rasul-Nya itu lebih adil dan lebih benar daripada agama orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. padahal mereka mengetahuinya."
Rujukan: 2001: 134-147 (Tafsir al-Tabari)