At-Tahriim (66) : 4 (Blok: 1-5)
Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
TAFSIR 1
Bukhari meriwayatkan dalam kitab Al-Iman dan An-Nudzur dari Ubayd bin Umair berkata, "Aku mendengar Aisyah menyangka Rasulullah menginap di rumah Zainab binti Jahsy dan meminum madu di sana. Kemudian aku dan Hafshah mempersiapkan diri sehingga ketika Rasulullah datang maka Hafshah hendak berkata kepadanya, Aku mencium bau munghafir (getah) pada dirimu. Apakah engkau telah memakan munghafir (getah)?' Kemudian Rasulullah menemui salah satu dari keduanya dan salah satu dari keduanya pun juga mengatakan hal yang sama sehingga Rasulullah berkata, Tidak. Aku telah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy dan selamanya aku tidak akan mengulanginya lagi."' Maka turunlah ayat (Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu? Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu?) sehingga ayat (Jika kamu berdua bertAUbat kepada Allah, maka sungguh hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran)) ayat ini turun untuk Aisyah dan Hafshah. Maksud firman Allah (Dan orang-orang mukmin yang baik) adalah Abu Bakar dan Umar sedangkan Hassan Basri juga menambahkan Utsman. Dan Lats bin Abi Salim dari Mujahid berkata (Dan orang-orang mukmin yang baik) adalah Ali bin Abi Thalib." Dan maksud firman Allah (Perempuan-perempuan yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadah) dan firman Allah (Yang berpuasa) adalah wanita-wanita yang berpuasa.
Rujukan: 1999: 939 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu? Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu?) Allah mengingatkan kepada Nabi Muhammad saw yang mengharamkan sesuatu yang Allah halalkan baginya kerana ingin mencari keredhaan isteri-isterinya. Para ulama telah berselisih pandang mengenai hal yang halal namun diharamkan oleh nabi bagi dirinya sendiri. Sebahagian di antara para ulama, hal ini berhubungan dengan Mariyah Al Qibtiyyah, rasul mengharamkan dirinya sendiri untuk tidak mendekatinya dengan sumpah. Tidak lain hal itu terjadi untuk mencari redha Hafshah binti Umar bahawa ia merasa cemburu apabila Rasulullah bersama dengan Mariyah pada hari giliran Hafshah dan di dalam rumahnya. Maka Allah menurunkan ayat ini. (Dan ingatlah ketika secara rahsia Nabi membicarakan suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya (Hafshah). Lalu dia menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan peristiwa itu kepadanya (Nabi)). Maksudnya ketika Nabi Muhammad merahsiakan sebuah kejadian kepada salah satu isterinya iaitu Hafshah dan berpesan agar tidak mengatakan hal ini kepada isterinya yang lain. Tetapi Hafshah melanggarnya ia memberitahukan pembicaraan rahsia tersebut kepada isterinya yang lain iaitu Aisyah. Allah pun menunjukkan kepada Rasulullah bahawa Hafshah telah membocorkannya. Maksud ayat (Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah maka sungguh hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran) Allah menyampaikan kepada Hafshah dan Aisyah jika mereka berdua bertaubat kepada Allah disebabkan hati mereka telah berdosa atau menyimpang. Setelah semua kejadian itu, Allah menyampaikan bahawa Dia adalah penolong Rasul-Nya atas perbuatan kedua isterinya dan atas perbuatan semua orang yang ingin menyakitinya. Demikian pula Jibril adalah penolongnya dan orang mukmin yang terpilih juga adalah penolongnya. Pada akhirnya, Allah memberikan peringatan kepada isteri-isteri nabi bahawa jika Nabi menceraikan isteri-isterinya, Allah akan menggantikan mereka dengan yang lebih baik. Ayat ini peringatan atas rasa cemburu yang mereka lakukan bersama-sama.
Rujukan: 2001: 209-213 (Tafsir al-Tabari)