Al-Jumuah (62) : 10 (Blok: 9-11)
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
TAFSIR 1
Ayat ini merupakan rangkaian kewajipan solat Jumaat, dimana Allah swt mengecam tindakan keluar masjid ketika khutbah sedang berlangsung pada hari Jumaat dan memilih untuk berdagang, sesuatu yang terjadi di kota Madinah pada saat itu. Allah berfirman (Dan apabila mereka melihat perdagangan atau permainan, mereka segera menuju kepadanya dan mereka tinggalkan engkau (Muhammad) sedang berdiri (berkhutbah)) yakni ketika kamu sedang berkhutbah di atas mimbar. Begitulah riwayat yang diceritakan oleh sebagian tabi?in termasuk Abu Aliyah, Hassan, Zaid bin Aslam dan Qatadah. Muqatil bin Hayyan mengatakan bahawa barang dagangan yang mereka tuju adalah milik Dahiyah bin Khalifah, sebelum ia masuk Islam. Dahiyah melengkapi dagangannya dengan nyanyian dan gendang sehingga para sahabat berpaling kepadanya dan meninggalkan Rasulullah saw berdiri di atas mimbar. Hanya sedikit dari mereka yang mengikuti khutbah beliau. Ayat (Dan mereka tinggalkan engkau (Muhammad) sedang berdiri (berkhutbah)) merupakan dalil bahawa khatib dalam khutbah Jumaat seharusnya berdiri. Jabir bin Samrah berkata, "Nabi melakukan dua kali Khutbah. Beliau berdiri di antara keduanya, membaca Al-Quran dan mengingatkan manusia." Makna firman Allah (Katakanlah, "Apa yang ada di Sisi Allah) yakni pahala dari Allah swt di akhirat nanti. (Lebih baik daripada permainan dan perdagangan dan Allah Pemberi rezeki yang terbaik) bagi orang yang tawakal kepada-Nya dan mencari rezeki tepat pada waktunya.
Rujukan: 1999: 930 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Wahai orang-orang yang beriman) wahai orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya apabila terdengar panggilan iaitu panggilan yang dikumandangkan sebagai ajakan untuk menunaikan solat Jumaat ketika imam duduk di atas mimbar untuk khutbah, bersegeralah untuk berjalan menuju Allah dan laksanakanlah solat Jumaat dengan hati dan ketulusanmu. (Dan tinggalkanlah jual beli). Maksudnya setelah mendengarkan panggilan untuk solat Jumaat hendaklah kalian meninggalkan aktiviti jual beli. Diriwayatkan oleh Ad-Dhahhak bahawa ia berpendapat, "Apabila matahari telah tergelincir maka diharamkan jual beli." (HR Ibnu Abi Syaibah, 134) Ibnu Zaid berkata "Dan tidak dihalalkan untuk melaksanakan jual beli apabila terdengar panggilan azan yang dilakukan imam ketika duduk di atas mimbar." Maksud ayat (Apabila solat telah dilaksanakanh setelah menunaikan kewajipan solat Jumaat, hendaklah kalian menyebar di muka Bumi ke mana pun kalian ingin, Ad-Dhahhak menambahkan bahawa ini adalah keringanan dari Allah maka barang siapa yang ingin keluar boleh dan barang siapa yang ingin duduk di masjid tidak mengapa. Maksud ayat (Dan ingatlah) agar sentiasa mengingat Allah dengan cara memuji-Nya, bersyukur atas segala nikmat yang diberikan sehingga kalian dapat menunaikan kewajipan. Tujuannya agar kalian beruntung di Sisi Rabb kalian.
Rujukan: 2001: 111-113 (Tafsir al-Tabari)