Al-Hasyr (59) : 11
Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.
TAFSIR 1
Allah swt menjelaskan keadaan orang-orang munafik seperti Abdullah bin Ubay dan teman-temannya, ketika diutus ke Bani Nadhir dan menjanjikan kemenangan bagi mereka. Allah berfirman (Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudaranya yang kafir di antara Ahli Kitab, 'Sungguh jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapa pun demi kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantumu). Selanjutnya Allah berfirman, (Allah menyaksikan bahawa mereka benar-benar pendusta). Ertinya mereka berdusta atas janji mereka. Mungkin saja mereka mengatakan sesuatu dan berniat untuk tidak menepatinya atau kerana mereka tidak melaksanakan apa yang mereka katakan.
Rujukan: 1999: 916 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
(Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang munafik) Maksudnya Allah mengingatkan kepada Nabi saw untuk memperhatikan orang-orang munafik iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul, Wadiah, Malik bin Abi Qauqal, Suwaid dan Dais, ketika mereka datang kepada Bani Nadhir saat beliau bersiap-siap untuk memerangi Bani Nadhir. (Yang berkata kepada saudara-saudaranya yang kafir di antara Ahli Kitab, 'Sungguh, jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapa pun demi kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantumu). Maksudnya mereka berkata kepada Bani Nadhir, menetaplah kalian kerana sesungguhnya kami tidak akan menyerahkan kalian. Jika kalian berperang, kami pun akan berperang bersamamu. Jika kalian diusir, kami pun akan pergi bersama kalian. Bani Nadhir menunggu janji pertolongan itu, akan tetapi janji itu tidak pernah terjadi. Allah pun membuat rasa takut dalam hati mereka hingga akhirnya mereka meminta kepada Rasulullah saw untuk mengeluarkan mereka dari Madinah dan tidak membunuh mereka dan membawa beberapa harta benda bagi mereka. (Dan Allah menyaksikan, bahawa mereka benar-benar pendusta). Maksudnya Allah mengetahui bahawa orang-orang munafik yang berjanji untuk menolong Bani Nadhir dalam memerangi Muhammad saw hanyalah sebuah kebohongan.
Rujukan: 2003: 577 (Tafsir al-Tabari)