An-Nisaa’ (4) : 19
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
TAFSIR 1
Bukhari meriwayatkan bahawa ayat (Wahai orang-orang yang beriman! Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa) Ibnu Abbas berbicara sebagai berikut, "Tradisi kaum jahiliyah, jika seorang lelaki meninggal maka walinyalah yang menjadi orang paling berhak mempusakai isteri almarhum. Wali itu ada yang memilih menikahi si janda, ada yang menikahkannya dengan orang lain, ada pula yang membiarkannya begitu saja. Wali almarhum bahkan lebih berhak terhadap wanita itu daripada keluarganya sendiri. Berkenaan kebiasaan mereka itulah ayat ini turun. (Dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya) maksudnya dalam bergaul (dengan isteri) jangan sampai menyakitinya dengan cara memintanya mengembalikan mahar (semua atau sebahagian) secara paksa dan dengan tekanan. (Kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata) mengenai ayat ini, baik Ibnu Mas?ud mahupun ahli tafsir lain sama-sama berpendapat bahawa maksudnya adalah zina. (Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut) maksudnya berbicaralah secara lemah lembut kepada isteri dan perlakukan mereka dengan baik. Jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya). Tafsirnya adalah semoga kesabaran kalian dalam mempertahankan rumah tangga di saat kurang menyukai isteri melahirkan banyak kebaikan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Rujukan: 1999: 224 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini berkenaan dengan tradisi yang biasa dilakukan pada zaman jahiliyah iaitu jika seorang suami meninggal maka bekas isteri si mayat itu menjadi milik anaknya seperti harta benda warisan dan hamba sahaya. Mereka memperlakukannya sekendak hati. Apabila ia suka, maka ia mengahwininya. Namun jika ia tidak suka, maka ia menghalangi orang lain menikahinya dan tidak menikahkannya sampai dia meninggal. Maka Allah mengharamkan hal tersebut kepada hamba-Nya serta diharamkan untuk menikahi isteri-isteri ayah mereka juga dilarang menahan isteri-isteri itu yang hendak menikah. Maksud ayat ini adalah bahawa tidak halal bagi kalian untuk menjadikan bekas isteri bapa kalian atau isteri kerabat kalian sebagai warisan. Juga tidak halal bagi kalian mempersulit mereka dengan tujuan untuk memudharatkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, berupa mahar mereka. Kecuali apabila mereka melakukan perbuatan fahisyah secara meyakinkan, maka ketika itu kalian boleh mempersulit mereka dengan cara merampas sebahagian mahar yang telah kalian berikan kepada mereka. Hendaklah kalian menggauli mereka sesuai adab pergaulan yang telah ditetapkan bagi kalian iaitu memberikan hak-hak mereka yang telah diwajibkan Allah kepada kalian atau menceraikan mereka dengan cara yang baik. Meskipun kalian tidak menyukainya, mungkin saja dengan tidak menceraikan mereka, Allah menjadikan bagi kalian kebaikan yang banyak, baik berupa anak ataupun rasa sayang kembali setelah kalian membenci mereka.
Rujukan: 2001: 521-539 (Tafsir al-Tabari)