An-Nisaa’ (4) : 19
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
ASBAB 1
Ibnu Saad meriwayatkan dari Muhammad bin Kaab Al-Qurazdy, dia berkata "Dulu menurut kebiasaan orang Arab, seseorang yang meninggal kemudian meninggalkan seorang isteri, anaknya lebih berhak untuk menikahinya. Namun jika tidak mahu, dia juga berhak untuk menikahkannya kepada orang yang dia kehendaki. Seperti ketika Abu Qais bin Al-Aslat meninggal, anak lelakinya mewarisi pernikahan isterinya tetapi tidak mewarisi hartanya sedikit pun. Lalu turunlah ayat ini." Diriwayatkan pula dari Az-Zuhri, dia berkata "Ayat ini turun berkaitan dengan sekelompok orang dari kaum Ansar yang kebiasaan mereka jika ada seseorang meninggal, yang lebih berhak memiliki isterinya adalah walinya. Dia berhak menahannya sampai akhir hidupnya."
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)