Al-Mujaadalah (58) : 3 (Blok: 1-3)
Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
TAFSIR
Dalam riwayat Ibnu Abi Hatim, Aisyah berkata, "Maha Suci Allah yang mendengar segala sesuatu. Saya mendengar perkataan Khaulah binti Tsalabah dan tidak didengar oleh yang lain. Dia mengadukan suaminya kepada Rasulullah. Dia berkata, 'Wahai Rasulullah, suamiku telah memakan hartaku. Aku habiskan masa mudaku dengannya dan dia telah menziharku.' Lalu turunlah ayat (Sungguh, Allah telah mendengar ucapan perempuan yang mengajukan gugatan kepadamu (Muhammad) tentang suaminya). Allah berfirman (Orang-orang di antara kamu yang menzihar isterinya, (menganggap isterinya sebagai ibunya) padahal isteri mereka itu bukanlah ibunya). Kalimat Zihar berasal dari kata Zhahrun yang bermakna punggung. Ketika ingin mencerai isterinya, orang Jahiliyah berkata, "Kamu bagiku sudah seperti punggung ibuku." Perkataan seperti itu atau yang menyerupainya, tidaklah menjadikan isteri mereka sebagai ibu kerana ibu yang sebenarnya adalah orang yang melahirkan mereka. Allah berfirman, (Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan suatu perkataan yang mungkar dan dusta) yakni perkataan buruk dan batil. Firman Allah (Dan mereka yang menzihar isterinya kemudian menarik kembali apa yang telah mereka ucapkan) Imam Syafie berkata ertinya menahan talak setelah mengucapkan kata zihar. Dia sebenarnya tidak mentalaknya. Firman Allah (Maka (mereka diwajibkan) memerdekakan seorang hamba) memerdekakan hamba perempuan sebelum kamu berhubungan badan. Hamba yang dimaksud adalah hamba secara keseluruhan, tidak harus Islam. Tentu ini berbeza dengan kafarat kerana membunuh maka harus memerdekakan seorang hamba perempuan yang Islam.
Rujukan: 1999: 905 (Tafsir Ibn Katsir)