An-Nisaa’ (4) : 12
Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
TAFSIR 1
Allah swt menjelaskan bahawa kaum lelaki separuh dari warisan yang ditinggalkan oleh isteri jika mereka meninggal tanpa seorang anak pun. Namun, jika mereka memiliki anak maka kalian hanya berhak mendapatkan seperempat dari harta warisan yang ditinggalkannya. Hal itu setelah wasiat ditunaikan dan hutang dibayar. Sesudah wasiat ditunaikan, baru pembahagian harta waris dilaksanakan. Urutan ini sudah disepakati para ulama. Selain itu, ditetapkan pula bahawa cucu ke bawah hukumnya sama dengan anak kandung. Baik isteri itu hanya seorang, dua, tiga ataupun empat, semuanya hanya berhak mendapatkan seperempat atau seperlapan. Adapun kata kalalah diambil dari kata iklil yang bererti mahkota yang melingkari kepala. Maksud kalalah di dalam ayat ini adalah orang yang diwarisi oleh kerabat di sekelilingnya, tidak oleh pangkal keturunan (bapa dan seterusnya ke atas) dan tidak pula pula anak keturunan (anak dan seterusnya ke bawah). Saudara seibu berbeza dari ahli waris lainnya dalam beberapa hal. Pertama, berhak mewarisi bersama-sama dengan orang yang menghubungkan mereka dengan almarhum iaitu ibu. Kedua, lelaki mahupun perempuan hak warisannya sama. Ketiga, hanya menjadi ahli waris ketika seseorang meninggal sebagai kalalah. Dengan begitu, mereka tidak dapat apa-apa dari warisan ketika ada ayah atau datuk, anak ataupun cucu. Keempat, hak mereka tidak lebih dari sepertiga. Berapa pun jumlahnya, tidak ada perbezaan lelaki atau perempuan.
Rujukan: 1999: 221 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Dan bahagianmu (suami-suami) adalah seperdua dari harta yang ditinggalkan) adalah para suami mendapatkan setengah dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kalian, apabila ternyata kalian tidak mempunyai anak, baik anak lelaki ataupun perempuan. Namun jika kalian mempunyai anak, sama saja apakah anak itu lelaki atau perempuan, maka bagi kalian seperempat dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kalian. Bahagian kalian tersebut, setelah pelaksanaan wasiat serta pelunasan hutang si mayat". Maksud ayat (Para isteri memperoleh seperempat harta) adalah para isteri mendapatkan seperempat tirkah jika kalian tidak mempunyai anak, sama saja apakah anak itu lelaki atau perempuan. Namun jika kalian mempunyai anak, sama saja apakah anak itu lelaki atau perempuan maka bagi isteri mendapatkan seperlapan. Bahagian isteri tersebut, setelah pelaksanaan wasiat serta pelunasan hutang si mayat" Maksud ayat (Jika seseorang meninggal, baik lelaki mahupun perempuan) adalah apabila si mayat lelaki atau perempuan, yang diwarisi secara kalalah, dalam erti tidak punya anak dan tidak punya orang tua. Dan si mayat hanya mempunyai saudara lelaki atau saudara perempuan seibu, maka masing-masing mendapatkan seperenam dalam pewarisan kalalah. Namun jika jumlah mereka lebih dari satu, mereka mengambil sepertiga dan membahagi sepertiga itu di antara mereka dengan pembahagian yang sama, tidak berbeza antara lelaki dan perempuan. Bahagian mereka itu, setelah pelaksanaan wasiat yang dipesankan oleh si mayat serta pelunasan hutang si mayat sedang hutang itu sendiri tidak merugikan ahli waris".
Rujukan: 2001: 473-488 (Tafsir al-Tabari)