Al-Qamar (54) : 55 (Blok: 54-55)
Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman (Sungguh, orang-orang yang bertakwa berada di taman-taman dan sungai-sungai.) Ertinya hal ini berbeza dengan orang-orang yang celaka dan sengsara yang masuk di neraka. Mereka hina dan diseksa. Allah berfirman (Di tempat yang disenangi). Iaitu di tempat di mana mereka dimuliakan oleh Allah dengan memberikan mereka kebaikan dan kelebihan. (Di Sisi Tuhan Yang Maha Kuasa). Iaitu pemilik segala sesuatu dan yang menentukan segala sesuatu. Apa yang dikehendaki pasti terlaksana dan apa yang tidak dikehendaki pasti tidak terjadi. Abdullah bin Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut "Orang-orang yang berbuat adil berada di Sisi Allah di atas mimbar yang penuh cahaya di sebelah kanan Allah. Dan di depan mereka terdapat orang-orang yang berbuat adil dalam mengambil keputusan dan berbuat adil pada keluarganya. " (HR Ahmad, Muslim dan Nasa'i)
Rujukan: 1999: 886 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
(Sungguh orang-orang yang bertakwa berada di taman-taman dan sungai-sungai). Maksudnya sesungguhnya orang-orang yang menjauhkan diri dari seksa Allah iaitu dengan taat kepada-Nya, melaksanakan kewajipan-kewajipan-Nya dan menjauhi kemaksiatan-kemaksiatan kepada-Nya maka mereka akan berada di kebun-kebun serta sungai-sungai pada hari kiamat. Dalam ayat ini kata-kata Nahar yang ertinya sungai menggunakan lafaz tunggal akan tetapi maknanya banya, iaitu sungai-sungai. Adapula yang berpendapat bahawa maksudnya ayat ini adalah bahawa orang-orang yang bertakwa pada hari kiamat berada dalam kelapangan dan diterangi cahaya. Mereka menjelaskan demikian kerana kata-kata (Nahar) ditujukan kepada makna (Nahar) yang ertinya siang. Maksud ayat (Di Sisi Tuhan Yang Maha Kuasa) selain orang-orang yang bertakwa berada di dalam kebun-kebun dan sungai-sungai, mereka pun berada dalam "di tempat yang disenangi" iaitu sebuah majlis yang benar yang tidak ada permainan atau pun dosa di dalamnya. (Di Sisi Tuhan Yang Maha Kuasa) maksudnya mereka bersama Maha Pemilik Kerajaan, Yang Maha Berkuasa atas apa yang Dia kehendaki, Dialah Allah Yang Maha Kuat.
Rujukan: 2001: 302-303 (Tafsir al-Tabari)