Ali-Imran (3) : 185
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
TAFSIR
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Allah swt adalah satu-satunya Zat Maha Hidup yang tidak akan mati sedangkan jin dan manusia akan mati, demikian pula malaikat dan makhluk penampan Arsy-Nya Allah swt. Maha Esa, satu-satunya Zat yang Maha Abadi dan Maha Kekal. Zat-Nya tetap dan tidak akan berubah. Ayat ini merupakan peringatan bagi seluruh umat manusia bahawa sesungguhnya tidak ada seorang pun di muka bumi yang dapat menghindari kematian. Ketika keturunan Adam a.s telah punah, kehidupan di dunia akan berhenti lalu Allah menghadirkan Kiamat. Dia akan membalas semua makhluk atas perbuatan mereka, berupa kebaikan ataupun keburukan, sedikit ataupun banyak, besar ataupun kecil. Allah swt tidak akan menzalimi hamba-Nya sedikit pun. Maksud firman Allah (Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan) adalah barang siapa yang terhindar dari api neraka, selamat dari seksanya dan dimasukkan ke dalam syurga, bererti dia menang dengan kemenangan sebenar-benarnya. Firman Allah swt (Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya) merupakan bentuk merendahkan urusan dunia dan penghinaan terhadap perkara yang berkaitan dengannya. Sesungguhnya, dunia itu hina, fana dan hanya sesaat untuk kemudian musnah.
Rujukan: 1999: 209-210 (Tafsir Ibn Katsir)