Al-Fath (48) : 26 (Blok: 25-26)
(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
TAFSIR
Firman Allah (Merekalah orang-orang kafir) adalah orang-orang musyrik dan suku Quraisy yang memusuhi Rasulullah saw. (Yang menghalang-halangi kamu (masuk) masjidilharam) bahawa sebenarnya Rasulullah dan kaum muslimin lebih berhak atas tempat itu daripada mereka. (Dan menghambat haiwan-haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)-nya) kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang keras kepala dan suka mendengki. Ayat (Dan kalau bukanlah kerana ada beberapa orang beriman lelaki dan perempuan) adalah bahawa sebenarnya di antara orang-orang Quraisy terdapat beberapa orang yang sudah beriman kepada Rasulullah. (Yang tidak kamu ketahui, tentulah kamu akan membunuh mereka yang menyebabkan kamu ditimpa kesulitan) adalah kesulitan berupa dosa dan hukuman dari Allah. (Tanpa kamu sedari kerana Allah hendak memasukkan siapa yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya) iaitu agar Allah dapat memperlambat hukuman bagi kaum kafir Quraisy, sementara orang-orang mukmin dapat terselamatkan sehingga mereka kembali ke dalam pangkuan Islam. Maksud dari firman Allah (Ketika orang-orang yang kafir menanamkan kesombongan dalam hati mereka (iaitu) kesombongan Jahiliah) adalah bahawa mereka enggan untuk menulis "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." Mereka juga enggan untuk menuliskan pernyataan bahawa semua itu adalah ketentuan Nabi Muhammad kepada mereka.
Rujukan: 1999: 849-850 (Tafsir Ibn Katsir)