Muhammad (47) : 32 (Blok: 32-33)
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, serta mereka memusuhi Rasul Allah setelah ternyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dibawanya), mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan menghampakan perbuatan dan amal-amal mereka.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini Allah swt menegaskan kepada orang-orang kafir, orang-orang yang menghalangi perjuangan di jalan Allah, orang-orang yang menentang dan mempersulit rasul-Nya dan orang-orang yang keluar dari agama-Nya setelah mereka memeluknya bahawa sesungguhnya perbuatan mereka itu akan menyengsarakan mereka pada hari Kiamat. Allah tidak akan memberikan ganjaran apa pun terhadap amal ibadah yang telah mereka laksanakan kerana kemurtadan mereka. Amal tersebut barangkali hanya tersisa sangat sedikit atau bahkan tidak tersisa sama sekali. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Aliyah bahawa para sahabat Rasulullah saw sempat berpendapat bahawa dosa tidak akan membahayakan seseorang di akhirat, sebagaimana halnya amal baik tidak akan bermanfaat bagi seseorang yang telah menyekutukan Allah. Beberapa saat kemudian, turunlah ayat (Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu merosakkan segala amalmu) Mendengar ayat ini, orang-orang mukmin pun takut berbuat dosa kerana dosa dapat menghapus amal kebaikan mereka. Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan kepada orang-orang mukmin untuk patuh kepada-Nya dan kepada rasul-Nya. Hal itu kerana ketaatan tersebut merupakan kunci kebahagian mereka di dunia dan di akhirat. Allah juga melarang mereka untuk murtad (keluar dari agama Islam) kerana hal itu dapat menjadikan amal mereka sia-sia sahaja.
Rujukan: 1999: 842 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Firman-Nya (Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalang-halangi (orang lain) dari jalan iaitu orang-orang yang mengingkari untuk mengesakan Allah swt dan menghalangi umat manusia dari agama yang Allah swt (Serta memusuhi rasul setelah ada petunjuk yang jelas bagi mereka) iaitu membangkang terhadap rasul-Nya, Muhammad saw, di mana mereka memerangi dan menyakiti beliau setelah mereka tahu bahawa beliau seorang nabi yang diutus Allah swt dan juga seorang rasul, padahal mereka tahu fakta kebenaran bahawa dirinya seorang utusan Allah swt. Firman-Nya (Mereka tidak akan dapat memberi mudarat (bahaya) kepada Allah sedikit pun) kerana Allah swt Pengendali urusan Rasulullah saw dan akan menolong beliau melawan orang-orang yang membangkang dan memeranginya. (Kelak Allah menghapus segala amal mereka) Allah swt akan menghapuskan amal perbuatan mereka di dunia sehingga amal itu tidak bermanfaat sedikit pun bagi mereka di dunia dan akhirat. Tidaklah Allah swt menghapuskan amal perbuatan mereka selain justeru menjadi mudarat bagi mereka sendiri. Firman-Nya (Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul) taatilah keduanya saat memerintah dan melarang. (Dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amalmu) jangan merosak pahala dengan membangkang kepada Allah swt dan rasul-Nya kerana kekufuran menghapuskan amal soleh yang telah dikerjakan.
Rujukan: 2001: 549-550 (Tafsir al-Tabari)