Al-Ahqaaf (46) : 27
Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).
TAFSIR 1
Firman Allah swt (Dan sungguh telah Kami binasakan negeri-negeri di sekitarmu) iaitu penduduk Mekah. Allah swt telah membinasakan umat-umat pendusta Rasulullah yang terdapat di negeri sekitar Mekah seperti kaum Ad yang tinggal di gunung-gunung pasir di Hadhralmaut di daerah Yaman. Dan juga seperti kaum Tsamud yang kampung mereka terletak antara Mekah dan Syam. Begitu pula seperti penduduk Saba yang juga merupakan penduduk negeri Yaman. Dan juga penduduk Madyan yang negerinya merupakan jalan menuju Gaza. Begitupun danau kaum Luth yang juga sering dilewat oleh orang-orang Mekah. Adapun maksud firman Allah swt (Dan juga telah Kami jelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami)) ialah Kami paparkan serta Kami terangkan (Agar mereka kembali (bertaubat))
Rujukan: 1999: 835-836 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan peringatan-Nya kepada orang-orang kafir Quraisy, memperingatkan mereka dengan seksa dan azab-Nya kerana kekufuran mereka. "Sungguh Kami telah membinasakan, wahai kaum, negeri-negeri dekat negeri kalian seperti Hijr kaum Tsamud, Sodom, Ma'Rib, dan lainnya. Kami memperingatkan penduduknya dengan angin taufan, Kami robohkan rumah-rumah mereka dan menjadikan tembok itu roboh menutupi atapnya." Firman-Nya (Dan juga telah Kami jelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami)) dan Kami menasihati mereka dengan berbagai macam nasihat, memperingatkan mereka dengan berbagai peringatan dan bukti-bukti kebenaran kepada mereka. Firman-Nya (Agar mereka kembali (bertaubat)) supaya mereka mahu kembali dari keadaan mereka saat itu iaitu kufur terhadap Allah swt dan ayat-ayat-Nya. Dalam ayat ini ada yang dipenggal mengingat sudah jelasnya apa yang dimaksud ayat iaitu mereka menolak (ajakan beriman) sehingga tetap dalam kekufuran mereka. Mereka tetap berada dalam kesesatan sehingga Kami membinasakan mereka dan tidak ada yang menolong mereka seorang penolong pun dari Kami. Allah swt menegaskan, tidak ada yang menolong mereka yang Kami binasakan di antara umat-umat terdahulu, berhala dan tuhan-tuhan yang mereka sembah dan berkorban dalam rangka mendekati Allah swt sebagaimana keyakinan mereka, terutama ketika azab Kami menimpa mereka sehingga mampu menyelamatkan mereka dari azab Kami.
Rujukan: 2001: 483-489 (Tafsir al-Tabari)