Al-Jaathiyah (45) : 23
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
Al-Jaathiyah (45) : 23 (Blok: 23-24)
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
TAFSIR 1
Allah swt berfirman (Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya) maksudnya ia dikendalikan oleh hawa nafsunya. Bila menurut nafsunya sesuatu itu baik, ia pun mengerjakannya. Dan bila nafsunya memandang itu buruk ia pun meninggalkannya. Maksud firman Allah (Dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya) adalah Allah swt menyesatkannya kerana Dia Maha Tahu bahawa orang itu memang pantas disesatkan. Ada pula penafsiran lain iaitu Allah swt menyesatkan dia setelah disampaikan ilmu kepadanya dan dikemukakan hujah ke hadapannya. Penafsiran kedua ini merupakan premis dari penafsiran pertama tetapi bukan sebaliknya. Kemudian Allah swt berfirman (Dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya?) maksudnya dia tidak mahu mendengar apa yang berguna baginya dan tidak mahu memperdulikan apa yang akan membuka jalan hidayah baginya serta tidak mahu melihat hujah yang dapat menerangi jalan hidupnya. Oleh kerana itu, Allah swt berfirman (Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?) Hal ini sama seperti yang disebutkan Allah swt dalam firman-Nya sebagai berikut. (Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah maka tidak ada yang mampu memberi petunjuk. Allah membiarkannya terombang-ambing dalam kesesatan) (QS Al-A'raf, 7: 186)
Rujukan: 1999: 1001 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan dalam ayat ini tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya. Mereka menyembah sesuatu selain Allah berdasarkan nafsu. Kerana perbuatan itulah Allah swt membiarkan mereka dalam kesesatan berdasarkan ilmu-Nya kerana Allah mengetahui bahawa mereka tidak akan menerima petunjuk-petunjuk yang diberikan kepadanya berupa ayat-ayat. Selain itu, Allah swt juga telah mengunci rapat pendengaran mereka sehingga tidak dapat menerima peringatan Allah dan mendengar ayat-ayat Allah yang akan menuntun mereka kepada kebenaran. Kemudian Allah swt juga mengunci hati mereka sehingga tidak mampu mempergunakan akalnya tentang sesuatu pun dan tidak dapat menerima kebenaran. Begitu pula dengan penglihatan mereka, Allah swt telah menutupnya dengan tutupan yang membuat mereka tidak dapat melihat tanda-tanda Kekuasaan Allah. Hal ini sebagai cara Allah menunjukan Keesaan-Nya dan membuktikan bahawa tidak ada Tuhan selain Dia. Selanjutnya Allah menerangkan bahawa mereka hanya meyakini adanya kehidupan di dunia saja dan tidak ada kehidupan setelahnya. Mereka pun mendustakan akan adanya Hari Kebangkitan setelah kematian. Mereka percaya akan adanya reinkarnasi, dimana ketika mereka mati kemudian anak-anak mereka lahir dan hidup setelahnya seakan-akan mereka hidup kembali dalam bahagian kehidupan anak-anak mereka dan hidup seterusnya. Namun Allah menyatakan dalam firman-Nya (Tetapi mereka tidak mempunyai ilmu tentang itu, mereka hanyalah menduga-duga saja).
Rujukan: 2001: 91-98 (Tafsir al-Tabari)