Al-Jaathiyah (45) : 20 (Blok: 14-21)
Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).
TAFSIR 1
Maksud firman Allah (Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak takut akan hari-hari Allah) adalah hendaklah orang-orang beriman tersebut mahu berjiwa lapang dada memaafkan mereka serta bersabar terhadap gangguan atau seksaan yang mereka timpakan. Perintah ini diturunkan pada awal permulaan Rasulullah mendakwahkan agama Islam. Pada masa itu, Allah swt memerintahkan kepada kaum muslimin untuk bersabar terhadap gangguan orang musyrik dan Ahlul Kitab sebagai upaya untuk berbaikan dengan mereka. Mujahid berkata "Makna firman Allah (Yang tidak takut akan hari-hari Allah) bahawa mereka tidak mendapatkan nikmat Allah swt" Firman Allah (Kerana Dia akan membalas suatu kaum sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan) adalah andaipun mereka dimaafkan di dunia tetapi Allah swt akan tetap membalas perbuatan buruk mereka di akhirat). Allah swt berfirman (Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu mengira) iaitu mereka yang mengerjakan dan mengusahakannya (Bahawa Kami akan meperlakukan mereka seperti orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan iaitu sama dalam kehidupan dan kematian mereka?) iaitu menyamakan antara mereka di dunia dan akhirat? Kemudian Allah berfirman (Alangkah buruknya penilaian mereka itu) iaitu buruk sekali persangkaan mereka tentang Kami dan keadilan Kami iaitu Kami akan menyamakan antara orang-orang jahat dan orang-orang baik, di akhirat mahupun di dunia ini.
Rujukan: 1999: 1000-1001 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt dalam ayat ini memerintahkan kepada orang-orang yang membenarkan Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah saw agar memaafkan orang-orang yang tidak takut kepada seksaan Allah walaupun perbuatan mereka telah menyakitinya. Kerana Allah swt pasti akan membalas perbuatan mereka pada hari akhir dengan seksa-Nya kerana dosa yang telah mereka lakukan di dunia dan perbuatan mereka yang telah menyakiti orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Kemudian Allah swt telah menjelaskan dalam ayat-Nya bahawa tidaklah sama antara kehidupan dan kematian, antara orang-orang kafir dan orang-orang yang beriman. Bahawa orang-orang yang membuat kejahatan di dunia, mendustakan Rasul saw, yang menentang perintah Tuhan-Nya dan menyembah selain Allah swt, mereka menyangka bahawa pada hari akhir akan dijadikan seperti orang-orang yang beriman kepada Allah Swt, membenarkan Rasul saw yang melakukan amal soleh dan taat kepada Allah swt dan mereka ikhlas (bersih hati) dalam beribadah dan tidak menjadikan bagi Allah swt sekutu?! Padahal sekali-kali tidak, Allah swt pasti tidak akan melakukan hal itu kerana Allah swt telah melebihkan (mengistimewakan) salah satu di antara dua golongan itu dan Allah menjadikan golongan yang beriman di syurga, sedangkan kelompok orang kafir di neraka. Amat buruklah sangkaan mereka bahawa kehidupan dan kematian antara orang yang membuat kejahatan di dunia dengan orang yang beriman dan beramal soleh adalah sama. Kerana masing-masing dari mereka akan mendapatkan balasan yang sesuai dengan perbuatannya dan dimintai pertanggungjawapan pada hari kiamat.
Rujukan: 2001: 80-83, 87-91 (Tafsir al-Tabari)