Al-Jaathiyah (45) : 8
يَسْمَعُ آيَاتِ اللَّهِ تُتْلَى عَلَيْهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا كَأَنْ لَمْ يَسْمَعْهَا فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman ((iaitu) Orang yang mendengar ayat-ayat Allah ketika dibacakan kepadanya) iaitu yang diperdengarkan kepada dia. (Namun dia tetap menyombongkan diri) yakni tetap dalam kekufuran, keingkaran, keangkuhan dan siakp keras kepalanya. (Seakan-akan dia tidak mendengarnya) iaitu seakan-akan dia tidak pernah mendengarnya. Ayat (Maka peringatkanlah dia dengan azab yang pedih) maksudnya maka beritahu kepada dia bahawa Allah swt telah menyiapkan azab yang pedih lagi menyakitkan baginya nanti di hari Kiamat.
Rujukan: 1999: 1000 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan dalam ayat-ayat ini mengenai ancaman bagi orang yang mendustakan (ayat Allah) dengan melakukan dosa kepada Allah swt dan sesunguhnya mereka akan menjadi penghuni Neraka Jahanam. Orang yang mendustakan ayat-ayat Allah swt adalah orang yang mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan kepadanya tetapi ia tetap menyombongkan diri dengan kekufuran dan dosa yang telah ia perbuat tanpa mahu bertaubat ataupun menjauhi perbuatan dosanya. Tidak tunduk kepada perintah Allah dan tidak menjauhi larangannya ertinya seolah-olah ia tidak mendengar apapun yang dibacakan kepadanya. Maka balasan bagi mereka adalah seksaan yang pedih. Kemudian pada ayat selanjutnya Allah swt menyebutkan bahawa para pendosa dan pembohong ini ketika mereka mengetahui sedikit saja dari ayat-ayat Allah, mereka jadikan sebagai bahan olok-olok dan ejekan seperti yang dilakukan oleh Abu Jahal. Kerana kesombongan mereka itulah Allah menjadikan apa pun yang telah mereka usahakan di dunia berupa harta ataupun anak (keturunan) tidak akan berguna sama sekali bagi mereka kerana dihadapan mereka telah menanti Neraka Jahanam sebagai tempat kembali. Bahkan sembahan-sembahan (selain Allah) yang mereka jadikan sebagai Tuhan iaitu ditaati dengan mengingkari Allah swt dan dijadikan sebagai penolong di dunia, tidak akan sedikit pun dapat menyelamatkan mereka dari seksaan yang besar.
Rujukan: 2001: 76-77 (Tafsir al-Tabari)