Az-Zukhruf (43) : 58 (Blok: 57-58)
Dan mereka berkata lagi: "Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?" Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.
TAFSIR 1
Allah swt menjelaskan sikap pembangkangan orang-orang Quraisy dalam kekufuran mereka dan kesengajaan mereka bersikap keras kepala dan suka berdebat (berbantahan). Allah swt berfirman (Dan ketika putera Maryam (Isa) dijadikan perumpamaan, tiba-tiba kaummu (suku Quraisy) bersorak kerananya) Banyak ahli tafsir meriwayatkan dari lbnu Abbas r.a, Mujahid, Ikrimah, As-Saddi dan Ad-Dhahhak, makna (Yashiddun) bahawa mereka mentertawakannya atau merasa aneh dengannya. Orang-orang Quraisy berkata, "Siapakah Ibnu Maryam itu?" Rasulullah saw menjawab, "Beliau adalah hamba Allah swt sekaligus rasul-Nya." Lalu orang-orang Quraisy itu berkata, "Demi Allah, orang ini (Muhammad) menginginkan agar kita menjadikan dia sebagai Tuhan sebagaimana orang-orang Nasrani menjadikan Isa bin Maryam sebagai tuhan." Maka ketika itu, Allah swt menurunkan firman-Nya (Mereka tidak memberikan (perumpamaan itu) kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar). Qatadah mengatakan, Ibnu Mas'ud r.a membaca ayat tersebut sebagai berikut "Dan mereka berkata, "Manakah yang lebih baik, tuhan-tuhan kami atau dia (Isa)?" maksud mereka adalah apakah tuhan-tuhan kami lebih baik ataukah orang itu? Yang mereka maksud adalah Nabi Muhammad saw. Firman Allah (Mereka tidak memberikan (perumpamaan itu) kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja) adalah sekadar ingin berdebat saja. Padahal mereka tahu bahawa tuhan-tuhan mereka tidak pernah menunjukkan kekuasaannya kerana benda-benda itu tidak berakal.
Rujukan: 1999: 990 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat-ayat ini Allah swt menjelaskan tentang kisah Nabi Isa a.s ketika Allah swt menyerupakan nabi Isa dengan nabi Adam a.s iaitu dia diciptakan dari tanah tanpa seorang bapa. Ayat-ayat ini (57-58) menceritakan kembali kejadian sewaktu Rasulullah membacakan di hadapan orang Quraisy Surah Al-Anbiya ayat 98 yang ertinya (Sesungguhnya kamu dan yang kamu sembah selain Allah adalah kayu bakar Jahanam). Maka seorang Quraisy bernama Abdullah bin Az-Zab'ari menanyakan kepada Rasulullah saw tentang keadaan Isa yang disembah orang Nasrani apakah beliau juga menjadi kayu bakar neraka Jahanam seperti halnya sembahan-sembahan mereka. Rasulullah terdiam dan mereka pun mentertawakannya lalu mereka menanyakan lagi mengenai mana yang lebih baik antara sembahan-sembahan mereka dengan Isa a.s. Pertanyaan-pertanyan mereka ini hanyalah mencari perbantahan, bukanlah mencari kebenaran. Jalan fikiran mereka itu adalah kesalahan yang besar. Isa a.s bahawa beliau disembah dan tidak pula rela dijadikan sembahan.
Rujukan: 2001: 595- 629 (Tafsir al-Tabari)