Ali-Imran (3) : 143
وَلَقَدْ كُنْتُمْ تَمَنَّوْنَ الْمَوْتَ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَلْقَوْهُ فَقَدْ رَأَيْتُمُوهُ وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).
ASBAB 1
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya segolongan sahabat mengatakan bahawa mereka sangat ingin gugur pada Perang Uhud seperti halnya sebahagian mereka yang gugur pada Perang Badar. Mereka juga sangat berharap menemui hari seperti hari Badar, memerangi kaum musyrikin kemudian mendapatkan kebaikan, syahid dan masuk syurga atau hidup dan memperoleh rezeki yang banyak. Kemudian Allah menghadapkan mereka pada kenyataan Perang Uhud, hanya sebahagian kecil yang dikehendaki Allah yang bertahan di medan perang. Kemudian turunlah ayat ini.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)