Az-Zukhruf (43) : 5 (Blok: 4-5)
Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).
TAFSIR
Allah swt menerangkan dalam ayat ini tentang sikap orang musyrik terhadap Al-Quran. Disebutkan bahawa Al-Quran itu dalam induk Al-Kitab (Lauh Mahfuz) yang ada di Sisi kami, sungguh tinggi nilainya dan mengandungi banyak hikmah di dalam ayat-ayatnya. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata "Sesungguhnya hal pertama yang Allah swt ciptakan adalah qalam (tinta) kemudian Allah swt memerintahkannya untuk menuliskan apa yang ingin Dia ciptakan, Dia berkata 'Iaitu Al-Kitab yang ada di sisi-Nya'. Kemudian Dia berfirman 'Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam induk Al-Kitab (Lauh Mahfuz) di Sisi Kami adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandungi hikmah."' Kemudian Allah berfirman (Maka apakah Kami akan berhenti menurunkan ayat-ayat (sebagai peringatan) Al-Quran kepadamu kerana kamu kaum yang melampaui batas?) Maksudnya apakah kalian mengira kami akan menahan seksaan kalian dan kami akan membiarkan kalian dan kami akan mencegah perbuatan kalian kerana kalian orang-orang musyrik yang melampaui batas, yang tidak beriman kepada Tuhan kalian. Maka ini menunjukkan bahawa firman-Nya sebagai ancaman bagi orang-orang musyrik ketika mereka mendustakan apa yang datang kepada mereka dari Sisi Allah swt melalui rasul-Nya kerana mengikuti cara umat sebelum mereka.
Rujukan: 2001: 546-550 (Tafsir al-Tabari)