Asy-Syuraa (42) : 36 (Blok: 36-38)
Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
TAFSIR 1
Allah swt mencela kehidupan dunia dengan segala perhiasannya termasuk apa yang di dalamnya berupa bunga-bunga dan kesenangan hidup yang fana belaka. Allah swt berfirman (Dan kepadamu maka itu adalah kesenangan hidup di dunia) maksudnya betapa banyak kekayaan dunia yang kalian peroleh dan kumpulkan namun hal itu jangan sampai menipu kalian. Semua itu hanya perhiasan dunia belaka yang sifatnya fana dan akan lenyap. Adapun firman Allah (Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di Sisi Allah lebih baik dan lebih kekal) iaitu pahala yang disiapkan Allah swt adalah lebih baik daripada dunia. Sebab pahala itu sifatnya kekal abadi. Kerana itu, janganlah kalian lebih mengutamakan yang fana di atas yang kekal. Allah awt berfirman (Bagi orang-orang yang beriman iaitu bagi mereka yang sanggup bersabar dalam meninggalkan kesenangan dunia. Firman Allah (Dan apabila mereka marah segera memberi maaf) adalah kebiasaan mereka yang penyantun dan suka memberi maaf kepada orang lain. Mereka tidak memiliki kebiasaan pendendam dan membalas kesalahan orang. Maksud firman Allah (Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhan) iaitu mereka yang mengikuti rasul-Nya dan mentaati perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya, melaksanakan solat) merupakan ibadah teragung kepada Allah swt. (Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka) maksudnya mereka tidak mahu memutuskan suatu perkara kecuali mereka musyawarahkan terlebih dahulu. Musyawarah ini membantu mereka memutuskan perkara-perkara seperti perang dan lainnya.
Rujukan: 1999: 981 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt mengingatkan kepada manusia bahawa perhiasan dunia yang Allah berikan berupa harta dan anak, merupakan kekayaan yang dapat dinikmati sepanjang kehidupan dunia. Namun itu bukan bahagian dari kekayaan akhirat dan tidak dapat memberi manfaat di hari kiamat. Kemudia Allah berfirman bahawa apa yang Allah siapkan bagi mereka yang taat dan beriman kepada-Nya di akhirat lebih baik dari apa yang diberikan di dunia dan kenikmatan di akhirat adalah kekal. Dan apa yang diberikan di dunia hanya bersifat sementara. Dan hanya kepada Allah-lah orang mukmin bertawakal menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Kemudian Allah swt mengkhabarkan sifat-sifat orang yang akan mendapatkan kenikmatan itu iaitu yang beriman dan yang menjauhi dosa-dosa besar dan juga yang menjauhi perbuatan yang keji (berbuat zina) apabila mereka ditimpa suatu kejahatan sehingga membuat mereka marah, mereka mengampuni orang yang berbuat kejahatan tersebut dan memaafkan kesalahannya, memenuhi panggilan Allah ketika mereka dipanggil untuk mengikrarkan ketauhidan, keesaan-Nya dan membebaskan diri dari segala bentuk peribadatan kepada selain-Nya. Mereka mendirikan solat yang wajib dengan memenuhi batasan-batasannya dan melakukannya pada waktu-waktunya, apabila mereka menghadapi suatu perkara, mereka bermusyawarah untuk memecahkannya, mereka menunaikan kewajipan harta mereka di antaranya dengan menunaikan zakat, infak kepada orang yang berhak menerimanya.
Rujukan: 2001: 520-523 (Tafsir al-Tabari)