Asy-Syuraa (42) : 11
Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
TAFSIR 1
Maksud firman Allah ((AIIah) Pencipta langit dan Bumi) adalah Dialah yang menciptakan keduanya dan segala apa yang terdapat di antara keduanya itu. Sedangkan maksud (Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan dari jenis haiwan ternak pasangan-pasangan (juga)) iaitu dari jenis kalian dan bentuk kalian. ltu semua sebagai nikmat dan kemurahan Allah swt terhadap kalian. Dia jadikan kalian sebagai lelaki dan perempuan. Adapun maksud firman Allah (Dan dari jenis haiwan ternak pasangan-pasangan (juga)) adalah Dia menciptakan untuk kalian haiwan-haiwan ternak yang terdiri atas lapan jenis yang berpasangan. Maksud firman Allah (Dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu) adalah Dia ciptakan kalian dalam bentuk demikian, berdasarkan sifat yang disebutkan sebelumnya. Hal ini terus-menerus begitu, Dia ciptakan kalian lelaki dan perempuan, satu ciptaan setelah ciptaan lainnya, dari generasi ke generasi berikutnya dan satu keturunan ke keturunan berikutnya. Demikianlah prosesnya, baik di kalangan manusia mahupun haiwan. Sedangkan maksud firman Allah (Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia) iaitu tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Sang Pencipta makhluk yang berpasang-pasangan itu kerana Dialah yang Maha Esa lagi Maha tempat bergantung dan tiada satu apa pun sepadan dengan-Nya. Adapun firman Allah (Milik-Nyalah perbendaharaan langit dan Bumi) telah kami sebutkan sebelumnya tentang tafsir ayat ini dalam surah Az-Zumar. Simpulannya adalah Allahlah Yang Maha Berkuasa berbuat apa saja terhadap apa pun yang ada di langit dan di Bumi itu.
Rujukan: 1999: 976 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan dalam ayat ini bahawasannya Dia yang telah menciptakan tujuh lapisan langit dan Bumi. Kemudian Allah swt juga menyebutkan bahawa Dia yang menjadikan pasangan-pasangan bagi manusia dari jenis mereka seperti Allah swt menciptakan Hawa dari tulang rusuk Adam a.s yang dia adalah seorang lelaki. Dan Allah swt juga menjadikan binatang ternak berpasang-pasangan seperti domba, kambing, unta, lembu ada yang jantan dan ada yang betina. Dan menciptakan dari kalian apa yang telah Allah swt jadikan dari pasangan kalian. Kemudian Allah swt menyebutkan dalam ayat-Nya itu (Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia) kalimat ini mempunyai dua maksud. Maksud pertama bahawa tidak ada sesuatu pun yang seperti Dia. Dan maksud kedua, tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Dan Dialah Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Iaitu mendengar apa yang diucapkan makhluk-Nya dan melihat apa yang dikerjakan oleh makhluk-Nya. Tidak ada satu pun yang tersembunyi dari-Nya dan tidak ada yang lenyap dari pengetahuan-Nya, Dia Maha Meliputi seluruhnya, baik yang kecil mahupun yang besar. Yang semua itu untuk diberikan balasan bagi setiap manusia terhadap apa yang mereka usahakan, baik itu kebaikan mahupun kejahatan pada hari kiamat nanti. Maka jelaslah bahawa Al-Quran adalah satu-satunya sumber yang harus dijadikan pedoman dan petunjuk hidup manusia di dunia dan hendaklah segala perselisihan yang terjadi antara manusia dikembalikan kepada Al-Quran sebagai sumber penyelesaiannya.
Rujukan: 2001: 474-478 (Tafsir al-Tabari)