Az-Zumar (39) : 23
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini, Allah memuji kitab-Nya, Al-Quran yang agung, yang diturunkan kepada rasuI-Nya. Allah berfirman (Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang) Menurut Mujahid, seluruh isi Al-Quran hampir serupa dan berulang-ulang. Menurut Qatadah, satu ayat serupa dengan ayat lain, begitu juga dengan huruf-hurufnya. Menurut Ad-Dhahhak, berulang-ulang ertinya kata-kata Al-Quran sering diulang agar manusia mudah memahami maksud Tuhan. Menurut Ikrimah dan Hassan, dalam pengulangan itu Allah menyisipkan hukum. Said bin Jubair meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa ayat-ayat Al-Quran mirip satu sama lain dan saling mendukung. Firman Allah (Gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah) menjelaskan ciri-ciri orang-orang yang berbakti kepada Allah. Maksud firman Allah (Kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah) kerana mereka mengharapkan dan mendambakan rahmat dan kelembutan Allah. Mereka jauh berbeza dibandingkan orang-orang derhaka. Maksud firman Allah (Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki) bahawa ciri-ciri yang telah disebutkan tadi merupakan tanda-tanda orang yang mendapat petunjuk dari Allah. Adapun orang yang tidak memilikinya maka termasuk orang yang sesat. Allah berfirman (Dan barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk)
Rujukan: 1999: 940-941 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
(Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik) adalah Al-Quran. Sedangkan makna (Mutasyaabihan) iaitu sebahagiannya menyerupai sebahagian yang lainnya. Tidak ada perbezaan juga tidak bertentangan. Diriwayatkan dari Said bin Jabir iaitu sebahagiannya menyerupai sebahagian yang lainnya, sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain dan sebahagiannya menunjukkan sebahagian yang lain (As-Suyuthi, 325) Terkandung di dalam Al-Quran khabar-khabar, ketetapan-ketetapan, hukum-hukum dan hujjah-hujjah secara berulang-ulang. Diriwatkan dari Qatadah, Allah menceritakan di dalamnya kewajipan-kewajipan, ketetapan-ketetapan dan had-had secara berulang-ulang. (HR Abdul Razak, 172) (Matsaaniya) bererti "lagi berulang-ulang." Diriwayatkan dari Ibnu Zaid bahawa di dalamnya diulang-ulang khabar mengenai Musa, Saleh, Hud dan para nabi di tempat-tempat yang banyak. (Tafsir Ibnu Kasir, 84) Maksud ayat (Gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah, seseorang yang dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah akan gemetar dan menggigil. Selain menggigil kulit-kulit mereka dan hati-hati mereka pun akan merinding merasa takut kepada Rabb mereka sehingga akhirnya mereka menjalankan segala hal yang diperintahkan di dalam Al-Quran dan membenarkan apa yang ada di dalamnya. Maksud ayat (Itulah petunjuk Allah, dengan Kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki) Al-Quran ini adalah penjelasan Allah yang Allah berikan petunjuk dengannya siapa saja yang la kehendaki, Allah melapangkan hatinya untuk menerima keimanan bagi siapa saja yang la kehendaki. Maksud ayat (Dan barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah) barang siapa yang Allah telantarkan dari keimanan dengan perantara Al-Quran ini dan membenarkan apa yang di dalamnya maka hal itu kerana Allah menjadikannya sesat. Sedangkan makna (Maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk) barang siapa yang disesatkan hatinya oleh Allah ia tidak memiliki penolong dan penguat yang akan menguatkannya untuk mengikuti apa yang tertulis dalam Al-Quran.
Rujukan: 2001: 190-194 (Tafsir al-Tabari)