Az-Zumar (39) : 2 (Blok: 1-2)
Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.
TAFSIR
(Kitab (Al-Quran) ini diturunkan oleh Allah Yang Maha Mulia, Maha Bijaksana). Maksudnya kitab yang kami turunkan kepadamu, wahai Muhammad adalah dari Allah Yang Maha Perkasa untuk menyeksa musuh-musuh-Nya, Yang Maha Bijaksana dalam mengatur ciptaan-Nya maka janganlah kalian ragu akan hal itu. (Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa) kebenaran). Maksudnya Kami menurunkan kepadamu Al-Quran yang menyuruh kepada kebenaran dan keadilan. Dan perwujudan dari kebenaran dan keadilan itu adalah hendaknya engkau menyembah Allah dengan penuh keikhlasan dengan mengikuti agama-Nya. Kerana seseungguhnya agama itu hanya milik-Nya dan bukan milik berhala-berhala yang tidak dapat memberikan bahaya atau pun manfaat. (Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya) Maksudnya hendaklah engkau khusyuk kepada Allah wahai Muhammad iaitu dengan taat kepada-Nya, ikhlaslah untuk mengesakan-Nya. Beribadahlah engkau hanya kepada-Nya dan janganlah engkau jadikan sekutu dalam ibadah yang engkau lakukan sebagaimana yang dilakukan para penyembah berhala. Diriwayatkan dari Syimr, ia berkata seseorang akan didatangkan pada hari kiamat untuk dihisab. Dan dalam lembaran amalannya terdapat tumpukan seperti gunung yang terdiri atas kebaikan-kebaikan. Maka Allah berfirman, "Engkau solat pada hari ini dan ini agar dikatakan, fulan telah solat." Aku adalah Allah tiada Tuhan selain Aku. Dan bagi-Ku agama yang dilakukan dengan keikhlasan. Engkau berpuasa pada hari ini dan ini. Agar dikatakan, fulan telah berpuasa, Aku adalah Allah tiada Tuhan selain Aku dan bagiku agama yang dilakukan dengan keikhlasan. Fulan telah bersedekah pada hari ini dan ini, agar dikatakan, fulan telah bersedekah. Aku adalah Allah tiada Tuhan selain Aku dan bagiku agama yang dilakukan dengan keikhlasan. Amalannya sentiasa menghapus amalan yang lain sehingga tidak ada kebaikan yang tersisa dalam lembaran amalnya. Dan malaikat berkata, wahai fulan apakah engkau melakukan semua amalan untuk selain Allah?
Rujukan: 2001: 154-155 (Tafsir al-Tabari)