Ali-Imran (3) : 79 (Blok: 79-80)
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
ASBAB 1
Ibnu Abbas berkata dari Abu Rafi Al-Qaradzi yang mengatakan bahawa ketika para pendeta Yahudi dan Nasrani Najran berkumpul di hadapan Rasulullah saw dan beliau mengajak mereka untuk masuk Islam, mereka berkata "Wahai Muhammad! Apakah kamu ingin kami menyembahmu, sebagaimana Isa disembah?" Beliau menjawab "Aku berlindung kepada Allah." Kemudian Allah pun menurunkan ayat ini. Ada pula riwayat yang lainnya tentang penafsiran ayat ini. Al-Hassan berkata "Telah disampaikan kepadaku bahawa ada seorang lelaki yang berkata 'Wahai Rasulullah, kami sudah masuk Islam kerana engkau, sebagaimana sebahagian kami juga telah masuk Islam kerana engkau. Apakah kami diperbolehkan untuk bersujud kepadamu?' Beliau menjawab 'Tidak boleh tetapi muliakanlah nabi kalian dan tunjukkanlah kebenaran kepada orang yang berhak kerana sesungguhnya tidak layak bagi seorang pun untuk bersujud kepada siapa pun kecuali kepada Allah.' Kemudian turunlah ayat ini."
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)