Al-Baqarah (2) : 30
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
TAFSIR 1
Ayat ini mengingatkan nikmat-nikmat Allah kepada manusia diantaranya dinobatkannya Adam a.s sebagai khalifah di bumi. Menurut At-Thabari maksud (Aku hendak menjadikan khalifah di bumi) adalah mengangkat Adam a.s sebagai khalifah di bumi dan mengangkat setelahnya khalifah-khalifah lain silih berganti. Hasan al-Bashri mengatakan bahawa yang dimaksud khalifah adalah suksesi kepemimpinan yang silih berganti sejak Adam a.s hingga keturunannya sampai hari kiamat. Menurut lbnu Abbas, Adam a.s diangkat sebagai khalifah di muka bumi menggantikan bangsa jin. Sedangkan At-Tabari berpendapat, berdasarkan riwayat lbnu Abbas r.a dan lbnu Mas?ud r.a, bahawa yang diangkat sebagai khalifah Allah hanyalah Adam a.s dan mereka yang taat kepada Allah. Mereka bertugas menegakkan hukum Allah di tengah-tengah makhluk-Nya. Adapun sebab para malaikat itu bertanya (Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah disana) adalah untuk memperoleh informasi, kerana para malaikat itu, menurut riwayat lbnu Abbas r.a, pernah ditugaskan untuk membasmi jin penghuni bumi sebelum Adam a.s, yang kebetulan suka berbuat kerosakan dan menumpahkan darah. Maka timbullah pertanyaan ini kerana mereka hendak memperoleh informasi dari Allah, bukan kerana para malaikat itu tahu perkara ghaib, tidak pula kerana mereka berburuk sangka, atau hendak mengingkari keputusan Allah swt.
Rujukan: 2001: 470-500 (Tafsir al-Tabari)
TAFSIR 2
Setelah menyempurnakan penciptaan langit dan bumi, Allah swt kemudian mengamanati manusia menjadi khalifah di muka bumi. Menurut Qurthubi, penyataan malaikat di atas semata kerana mereka tahu karakter manusia yang suka berbuat kerosakan, kezaliman dan perbuatan dosa sehingga mengakibatkan pertumpahan darah di antara sesama manusia. Pernyataan malaikat itu bukanlah protes kepada Allah swt bukan pula ekspresi iri dan dengki atas kepercayaan Allah swt kepada manusia. Pernyataan itu semata-mata sekadar bahan pertimbangan dari malaikat yang disampaikan kepada Allah swt. Pernyataan tersebut lebih bermakna pertanyaan atas keputusan Allah swt, bukan penolakan. Dengan kata lain, malaikat hendak mengatakan, "Ya Tuhan kami, apa hikmah di balik keputusan-Mu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, sementara mereka suka berbuat kerosakan dan kezaliman?? Malaikat hendak bertanya, kalau pilihan itu disebabkan penghambaan manusia kepada Allah swt, bukankah malaikat lebih baik daripada manusia dalam penghambaan? Hal itu kerana malaikat selalu membaca tasbih dan tahmid kepada-Nya siang dan malam. Allah menegaskan kepada malaikat, Dia Maha Mengetahui atas semua keputusan yang diambil-Nya. Allah swt lebih mengetahui keadaan manusia yang telah banyak melakukan kerosakan. Allah swt menjadikan diantara mereka para Nabi dan Rasul. Selain itu, diantara manusia banyak sekali orang jujur, soleh, zuhud, khusyuk, dekat dengan Allah swt dan mengikuti semua petunjuk Rasulullah saw.
Rujukan: 1999: 40-41 (Tafsir Ibn Katsir)