Al-Ahzab (33) : 53
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.
TAFSIR 1
Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik, ketika Rasulullah menikah dengan Zainab binti Jahsyi, ia mengundang orang-orang, lalu mereka menikmati hidangan. Kemudian mereka duduk dan bercakap-cakap. la sangat ingin mereka berdiri tetapi mereka tidak berdiri. Ketika melihat itu, ia pun berdiri. Ketika ia berdiri, berdirilah orang yang berdiri dan ada tiga orang yang duduk. Kemudian Rasulullah datang untuk masuk ke kamar beliau. Akhirnya, orang-orang duduk kembali. Kemudian mereka berdiri dan pergi. Maka aku datang dan memberi tahu Rasulullah bahawa mereka sudah pergi. Beliau pun datang, lalu masuk. Aku pun ikut masuk, beliau memberi tabir antara aku dan beliau, maka turunlah ayat di atas." Firman Allah (Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah-rumah nabi) yakni terdetik dalam fikiran orang mukmin memasuki rumah Rasulullah tanpa izin seperti yang sering mereka lakukan pada waktu Jahiliah. Abu Hatim meriwayatkan dari Ibnu Abbas berkaitan firman Allah (Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah) bahawa itu turun pada seorang lelaki yang ingin menikahi sebahagian isteri Rasulullah setelah beliau wafat. Diriwayatkan oleh As-Saddi, orang yang mempunyai keinginan menikah salah seorang isteri nabi adalah Thalhah bin Ubaidillah r.a sampai turun peringatan atau pengharamannya. Kerana mereka isteri-isteri Rasulullah di dunia dan di akhirat dan juga ibu orang-orang yang beriman. (Ummahatul Mukminin)
Rujukan: 1999: 874-875 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Sebahagian ulama berpendapat, bahawa ayat ini turun kerana sekelompok orang yang makan di rumah Rasulullah, saat walimah pernikahan beliau dengan Zainab binti Jahsy. Selesai makan, mereka berbincang-bincang, padahal beliau sedang ada keperluan kepada isterinya. Namun, beliau merasa malu untuk memerintahkan mereka pulang dari rumahnya. Tetapi Allah tidak pernah malu menyatakan kebenaran. Maksud (Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri nabi) maka mintalah dari belakang tabir) jika kalian meminta sesuatu kepada isteri-isteri Rasulullah dan isteri-isteri kaum mukminin yang bukan isteri kalian, maka mintalah dari belakang tirai yang membatasi antara kalian dan mereka dan janganlah kalian masuk kepada mereka di rumah-rumah mereka. Maksud ((Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka) permintaan kalian kepada mereka yang dilakukan di belakang tirai adalah lebih suci untuk hati kalian dan hati mereka dari hal-hal yang memancing lelaki untuk memandang perempuan dan yang memancing perempuan untuk memandang lelaki dan cara seperti itu pun lebih menutup jalan syaitan untuk mengganggu kalian. Maksud (Dan tidak boleh (pula) menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah (nabi wafat)) selamanya tidak pantas juga bagi kalian menikahi isteri-isteri Nabi saw setelah beliau wafat. Kerana mereka adalah ibu-ibu kalian dan tidak halal seorang lelaki menikahi ibunya. Ada yang menyebutkan bahawa sebelum turun ayat hijab ini, ada seorang lelaki yang berkata 'Jika Muhammad meninggal aku akan menikahi salah seorang isterinya' dan ia menyebutkan namanya. Ibnu Zaid berkata "Berita ini sampai kepada Rasulullah dan membuat beliau tersinggung maka turunlah ayat ini untuk menjelaskan bahawa perbuatan itu sangat besar (dosanya) di Sisi Allah.
Rujukan: 2003: 157-171 (Tafsir al-Tabari)