Al-Ahzab (33) : 35
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
TAFSIR 1
Imam Ahmad meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a, isteri Rasulullah saw, dia berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah saw, kenapa kami tidak disebutkan dalam Al-Quran sebagaimana kaum lelaki?" Ummu Salamah berkata lagi, "Tidaklah suatu hari aku dibuat linglung kecuali oleh seruan beliau di atas mimbar. Sementara aku menyisir rambutku. Aku gulung rambutku, kemudian aku ke kamarku. Aku mendengar dari dinding kamar, ternyata beliau khutbah di atas mimbar 'Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman (Sungguh, lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin). Firman Allah (Sungguh, lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin) dalil bahawa iman berbeza dengan Islam. Iman lebih spesifik daripada Islam. Firman Allah swt (Lelaki dan perempuan yang benar) adalah jujur dalam ucapan. Jujur adalah sifat terpuji. Firman-Nya (Lelaki dan perempuan yang sabar) adalah sabar menghadapi musibah. Firman-Nya (Lalaki dan perempuan yang khusyuk). Khusyuk adalah ketenangan dan ketenteraman. Orang khusyuk sentiasa takut kepada Allah dan merasakan pengawasan-Nya. Ayat (Lelaki dan perempuan yang bersedekah) sedekah adalah berbuat baik kepada orang yang memerlukan dan lemah. Firman Allah (Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar). Sesungguhnya Allah menyediakan bagi mereka ampunan dosa dan pahala yang besar iaitu syurga.
Rujukan: 1999: 865-866 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah menggambarkan sifat-sifat yang dapat menyebabkan seseorang mendapatkan ampunan dan pahala yang besar iaitu lelaki dan wanita-wanita yang melaksanakan ketaatan kepada Allah, yang membenarkan Rasulullah saw iaitu dengan membenarkan apa yang beliau kepada mereka dari Sisi Allah, yang taat kepada Allah dengan menjalankan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang kepada mereka, yang menepati janji yang mereka lakukan kepada Allah, yang bersabar atas apa yang menimpa mereka ketika ditimpa kesukaran dan ujian dengan tetap berpegang teguh pada agama-Nya, yang hati-hati mereka takut kepada azab Allah, yang melaksanakan hak-hak Allah yang terdapat dalam harta mereka dengan menyedekahkannya, yang melaksanakan puasa pada bulan Ramadhan yang telah Allah wajibkan untuk berpuasa pada bulan itu, yang menjaga kehormatan mereka kecuali kepada suami-suami mereka dan kepada isteri-isteri mereka dan yang mengingati Allah dengan hati mereka, lisan mereka dan perilaku mereka. Maka bagi mereka telah Allah siapkan ampunan atas dosa-dosa mereka dan bagi mereka pahala yang besar iaitu syurga. Diriwayatkan dari Qatadah, ia berkata para wanita datang menemui isteri-isteri nabi dan mereka berkata, "Allah telah menyebutkan kalian di dalam Al-Quran dan tidak menyebutkan kami dalam Al-Quran." Maka Allah menurunkan ayat ini. (HR Ibnu Sa'ad, 199, 200). Diriwayatkan pula dari Mujahid, ia berkata Ummu Salamah berkata "Ya Rasulullah, lelaki telah disebutkan di dalam Al-Quran sedangkan kami para wanita tidak." Maka turunlah ayat ini.
Rujukan: 2001: 623-624 (Tafsir al-Tabari)