Al-Ahzab (33) : 9
Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
TAFSIR 1
Allah swt menerangkan nikmat, kurnia dan kebaikan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dalam mengusir musuh-musuh mereka pada saat musuh-musuh mereka berhimpun dan bergolong-golongan untuk memerangi orang-orang Islam iaitu pada tahun Khandak, yang bertepatan pada bulan Syawal tahun kelima hijriah menurut riwayat yang sahih dan masyhur. Menurut Musa bin Uqbah dan perawi yang lain, peristiwa tersebut terjadi pada tahun keempat hijriah. Sebab kedatangan golongan-golongan itu adalah kerana sekelompok pemuka orang-orang Yahudi dari golongan Bani Nadhir yang diusir Rasulullah saw dari Madinah ke Khaibar di antara mereka adalah Sallam bin Abu Huqaiq dan Sallam bin Misykam serta Kinanah bin Rabi, mereka keluar menuju Mekah dan berkumpul dengan para pemuka Quraisy lalu bersepakat untuk memerangi Rasulullah saw. Mereka bertekad untuk saling tolong menolong. Mereka menyetujui kesepakatan itu. Mereka pun keluar menghampiri golongan bani Gathafan untuk diajak memerangi Rasulullah saw. Mereka pun menyetujuinya. Orang-orang Quraisy keluar dengan beberapa golongan dan para pengikutnya di bawah komando Abu Sufyan Shakhar bin Harb. Sedangkan Bani Gathafan dipimpin oleh Ainah bin Hishn bin Badr. Jumlah seluruh pasukan mendekati 1000 orang. Ketika Rasulullah saw mendengar perjalanan mereka, beliau menyuruh kaum muslimin menggali parit di sekitar Madinah berikut bahagian timur. Perintah itu disampaikan Salman Al-Farisi r.a. Kaum muslimin pun segera menggalinya bersama Rasulullah saw. Dalam penggalian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) yang jelas dan bukti-bukti yang nyata.
Rujukan: 1999: 856-857 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan (Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu) yang telah dikurniakan kepada kelompokmu yaitu ketika orang-orang muslim disekap bersama Rasulullah saw pada perang Khandak (Ketika datang kepadamu tentara-tentara) iaitu tentara Ahzab, Quraisy, Gathafan dan Yahudi Bani Nazhir. Ibnu Humaid meriwayatkan, ia berkata "Salamah meriwayatkan dari Ibnu Ishaq, ia berkata 'Yazid bin Ruman meriwayatkan, seputar firman-Nya (Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentara-tentara, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentara yang tidak dapat kamu melihatnya) iaitu tentara Quraisy, Gathafan, Banu Quraizhah dan tentara yang Allah swt kirimkan ber sama angin taufan iaitu para malaikat." Firman-Nya (Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan) Allah swt menegaskan bahawa Allah swt terhadap apa yang kamu kerjakan pada hari itu termasuk kesabaran mereka dari cubaan ujian dan keteguhan mereka dalam melawan musuh serta amalan lain yang mereka kerjakan (Dan adalah Allah Maha melihat) tidak tersembunyi bagi-Nya sedikit pun, Allah swt akan memperhitungkannya dengan membalaskan perbuatan mereka.
Rujukan: 2001: 25-29 (Tafsir al-Tabari)